Pelaksanaan hudud memerlukan ijtihad atau pandangan baru dengan mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat, kata bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Katanya, tiada orang beriman menafikan kewujudan nas hudud, tetapi ijtihad baru diperlukan kerana ahli fekah sejak dahulu berbeza pendapat dalam hal itu.
Perdebatan itu, kata Dr Asri (kiri), tentang suasana masyarakat, kadar barang curi tertakluk bawah hudud serta cara potongan tangan, alatan dan ubatan moden yang boleh digunakan.
"Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini.
"Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir (discretionary punishment)," katanya.
Dalam kertas kerjanya yang dibentangkan sempena sambutan Hari Hudud 2011 di Kota Bharu hari ini, Dr Asri berkata, hukuman rejam kepada penzina juga patut mengambil kira pandangan yang memasukkannya bawah peruntukan takzir, bererti pemerintah boleh meminda atau membatalkannya.
'Hudud bagai wanita baik'
Katanya, terdapat juga pandangan antaranya supaya hukuman rejam disempitkan kepada lelaki ataupun perempuan yang masih berkahwin sahaja kerana "pengkhianatan kepada pasangan dan keluarga sesuatu yang amat buruk".
"Jika suasana kondusif, perubahan zaman dan tempat diambil kira dalam pelaksanaan hukuman, maka kita akan dapati hudud mencapai matlamat pencegahan, pendidikan dan dalam masa yang sama menonjolkan keindahan hukuman tersebut.
"Jika tidak, hukuman itu akan membawa fitnah dan salah sangka terhadap Islam.
"Saya selalu sebutkan hudud bagaikan wanita yang baik, ia akan indah jika bersuamikan lelaki yang baik.
"Namun keindahannya akan hilang jiwa berada di bawah suami yang fasik dan rosak," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Hudud merupakan jenayah dalam Islam meliputi kesalahan berzina, qazaf, minum arak, mencuri, merompak, murtad dan derhaka kepada pemerintah yang menjalankan syariat Islam.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Dr Asri berkata, hudud belum sesuai dilaksanakan di negara ini kerana keadaan tidak kondusif dan tidak wajar mana-mana pihak menyalahkan pihak lain kerana tidak melaksanakan hukum itu.
Katanya jika dilaksanakan juga, ia akan menimbulkan ketidakadilan kepada semua pihak dalam masyarakat majmuk di negara ini.
"Jika ada hukum yang ditegak atas nama Islam tetapi gagal membawa keadilan kepada kehidupan manusia, maka ia bukan syariat yang Allah kehendaki sekalipun dipetik dalil-dalil agama dalam mempertahankannya," katanya kepada pemberita.
No comments:
Post a Comment