Monday, August 30, 2010

APA ERTI KEMERDEKAAN?

SHAH ALAM, 30 Ogos: Kemerdekaan sebenar adalah membebaskan bangsa dari belenggu penjajahan minda yang terikat dengan ketidakadilan yang diperjuangkan di dalam membela nasib sesuatu bangsa, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, itulah antara amalan jahiliah yang masih diteruskan oleh Umno selama ini sedangkan kedatangan Islam telah menunjukkan jalan terbaik kepada umat Islam bagaimana bentuk perjuangan politik mereka.

Di dalam hal ini, ujarnya, bangsa Melayu wajar mengambil ajaran Islam sebagai tonggak perjuangan kehidupan mereka dalam usaha memastikan pemerkasaan bangsa berjaya ditegakkan dan keadaan sebaliknya terus berlaku jika mereka enggan.

Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan demikian ketika menyampaikan tazkirah sempena Ramadhan sebelum majlis berbuka puasa di Markas PAS Seksyen 18 dekat sini petang semalam. Turut hadir adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad selaku Yang Dipertua dan AJK PAS kawasan.

Tambahnya, penurunan Al-Quran sendiri secara berperingkat selama 23 tahun adalah untuk menjawab semua persoalan semasa yang timbul di dalam mana-mana masyarakat sebelum, semasa dan selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w.

“Akibat dari meninggalkan ajaran dan hukum Al-Quran kini terbukti semua agama selain Islam, isme, ideologi dan kepercayaan telah tidak relevan sekarang ini dan ternyata gagal untuk menangani segala isu semasa dan konflik masyarakat.

“Justeru, inilah masa terbaik untuk umat Islam bermuhasabah diri dan kembali mengambil jalan Islam apatah lagi di dalam bulan Ramadhan ini yang penghujung natijahnya, semua umat Islam mengharapkan mendapat anugerah takwa,” ujarnya.

Sementara itu di dalam satu lagi majlis selepas itu, Tuan Guru menyatakan, hanya dengan Islam sahaja bangsa Melayu akan mendapat kekuatan baharu yang kehilangan sejak sekian lama akibat tersalah memilih wadah perjuangan siasah.

Menurutnya, ketika zaman Nabi Muhammad, semua kaum dan bangsa dapat berhimpun di bawah payung Islam di Madinah dalam keadaan semua bangsa lain boleh hidup dalam keadaan aman damai sedangkan Islam berkuasa di situ.

“Inilah keadilan yang Islam perjuang dan berjaya tunjukkan serta memberikan hak kepada semua yang berhak termasuk tidak mengganggu gugat kehidupan bukan Islam ketika itu, inilah juga iktibar yang mesti dilihat oleh umat Islam masa kini,” tambahnya.

Ketika mengungkapkan kisah kenapa Nabi berhutang dengan Yahudi, tidak dengan ramai sahabat yang kaya, Tuan Guru Presiden menyebutkan bagaimana hasil bergaul baik dengan mereka yang bukan Islam menyebabkan mereka menganut Islam kerana terpikat dengan akhlak Islam.

Begitu juga ketika Peristiwa Pembukaan Kota Makkah, Nabi memerdekakan semua mereka yang tewas dengan pengampunan dan pembebasan sekaligus menolak dakwaan Islam ganas sedangkan di dalam revolusi selain Islam, meragut jutaan nyawa termasuk mereka yang tidak berdosa.

Dengan sikap terbuka dan rahmatnya mendahului tindakan yang ditunjukkan oleh Nabi itu, Islam telah berjaya menarik sokongan banyak pihak dari bangsa yang berbagai seperti Salman AlFarisi, Suhaib Ar-Rumi dan Bila AlHabsyi termasuk bukan Islam yang hidup aman sejahtera.

Saturday, August 28, 2010

HUKUM MENYENTUH MUSHAF DENGAN AIR LIUR


Baru-baru telah berlaku sedikit perbincangan panjang antara saya dan beberapa sahabat dalam Facebook berkaitan hukum menyentuh mushaf al-Quran dengan air liur untuk menyelak halaman-halamannya. Setelah di rujuk kepada kitab-kitab mazhab al-syafie maka berikut beberapa fatwa dan pandangan ulama Syafieyyah berkaitan masalah tersebut. Moga ianya dapat dikongsi bersama.

وفي القليوبي على المحلي يجوز ما لا يشعر بالإهانة كالبصاق على اللوح لمحوه ؛ لأنه إعانة ا هـ

“Di dalam Hasyiah Qalyubi ke atas Syarah Imam Al-Mahalli (Kanzul Raghibeen) disebutkan bahwa harus (melakukan demikian) selagi mana tidak menimbulkan penghinaan seumpama meludah ke atas papan lauh untuk menyapunya kerana ianya membantu”
وفي فتاوى الجمال الرملي جواز ذلك حيث قصد به الإعانة على محو الكتابة

“Dalam fatwa Imam Al-Jamal Ar-Ramliyy harus melakukan demikian sekira diniatkannya sebagai cara yang membantu untuk menyaru tulisan”

وفي فتاوى الشارح يحرم مس المصحف بإصبع عليه ريق إذ يحرم إيصال شيء من البصاق إلى شيء من أجزاء المصحف ويسن منع الصبي مس المصحف للتعلم خروجا من خلاف من منعه منه

“Di dalam Fatwa Syarih (Imam Mahalli) haram menyapu mushaf dengan jari yang ada padanya air liur kerana haram meletakkan sesuatu daripada ludah ke mana-mana juzuk mushaf (sekiranya menghina-pntrmh) dan disunatkan menegah kanak-kanak menyentuh mushaf untuk belajar kerana keluar daripada khilaf ulama yang menegah daripadanya”

Wallahu A'lam.

MACAM-MACAM: ARAB SUKA MANDI PANTAI BULAN RAMADAN


Bulan Ramadan tahun ini adalah berkebetulan dengan musim panas di negara-negara Arab. Kebiasaannya musim panas selama 3 bulan tersebut adalah musim cuti kepada kebanyakkan warga negara timur tengah dan afrika seperti Mesir. Maka tidak hairan sekiranya ramai dikalangan warga Arab yang pergi bercuti di destinasi seperti pantai untuk berkelah bersama keluarga walaupun bertembung dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Apa yang berlaku di Maghribi juga seperti itu. Walaubagaimanapun perbuatan tersebut mengundang pelbagai pendapat para ulama di sana yang mengulas berkaitan halal atau haramnya mandi dan bercuti di pantai pada bulan Ramadan.

Sebahagian ulama seperti Syeikh Abd. Bariyy Al-Zamzami mengatakan ianya adalah harus selagi mana ketika mandi air tidak dapat memasuki mulut atau hidung serta dapat menjaga adab-adab serta tidak melakukan perkara mungkar. Puasa bagi orang Islam tidak menegah daripada melakukan aktiviti harian dan bercuti tetapi yang penting tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa dan mengelakkan daripada maksiat.

Sebahagian ulama lain pula seperti Syeikh Abdullah Akadiroh lebih cenderung kepada pendekatan Sadd Azzaraie'. Sebaik-baiknya umat Islam tidak pergi ke pantain untuk mandi dan berkelah kerana tempat tersebut tidak terlepas daripada perbuatan membuka aurat dan percampuran lelaki dan perempuan yang tidak dibenarkan syarat. Walaupun tidak membatalakan puasa tetapi boleh menyebabkan nilai puasa berkurangan.

Ulama lain pula seperti Syeikh Muhammad As-Sahabi mengatakan haram melakukan perbuatan seumpama itu kerana perbuatan seperti itu tidak sunyi daripada perbuatan dosa yang melanggar etika dan adab berpuasa.

Sumber: IslamOnline.

Friday, August 27, 2010

Perkara yang merosakkan dalam perjalanan dakwah

Syeikh Dr. As-Sayyid Muhammad Noh dalam kitab beliau (Aafaat ‘Ala Al-Toriq) telah menggariskan 21 perkara yang boleh merosakkan amalan para Daie dalam perjalanan dakwah. 21 perkara yang digariskan oleh beliau sewajarnya di ambil perhatian oleh seluruh penggerak dakwah di mana sahaja agar usaha dakwah dan tarbiyah tidak menjadi sia-sia. Di sini secara ringkas saya menyenaraikan perkara tersebut agar ia dapat menjadi panduan buat kita semua:

1. Futur
2. Membazir
3. Gopoh
4. Menyendiri
5. Tertipu
6. Ujub
7. Takabbur
8. Riya’atau sum’ah
9. Mengikut hawa nafsu
10. Suka terkehadapan dan inginkan kuasa
11. Pendek pandangan
12. Lemah semangat
13. Tidak usul periksa
14. Meringankan amalan sunat siang dan malam
15. Buruk Sangka
16. Mengumpat
17. Menyebar fitnah
18. Membazir masa
19. Menangguhkan kerja
20. Suka membuat andaian buruk
21. Ekstrim dalam agama

Sekiranya diberikan kekuatan oleh Allah, saya akan berusaha membuat ringkasan kitab tersebut yang mempunyai 3 jilid supaya dapat memberikan tasawwur ringkas terhadap perkara-perkara yang mana hampir dilupakan oleh setiap mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai daie. Moga-moga Allah s.w.t menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara tersebut.

Wallahu 'Alam

Khairul Anuar Bin Ismail
Kota Bharu, Kelantan.

Thursday, August 26, 2010

HUKUM BUKAN ISLAM MEMASUKI MASJID


Utusan Malaysia pada hari ini (27 ogos 2010) telah menyiarkan satu berita berkaitan tindakan tegas yang akan diambil oleh JAIS terhadap jawatankuasa surau Al-Huda, Kajang Sentral kerana telah menjemput Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada ahli-ahli Pas, Ahad lalu.

Memetik daripada berita tersebut, perbuatan itu kononnya tidak dibenarkan mengikut Islam dan pengarahnya juga telah berkata:

“Orang bukan Islam adalah dilarang memasuki ruang solat kerana mereka ini dalam berkeadaan hadas besar apatah lagi berada di bahagian imam dan menyampaikan ucapan kepada umat Islam di dalamnya. “Oleh itu, kita akan mendapatkan laporan dan penjelasan daripada nazir serta jawatankuasa surau berkenaan mengenai perkara ini. Jika dakwaan ini benar, kita akan memaklumkan kepada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan tindakan tegas akan diambil,”
Komen saya:

Kejahilan berkaitan hukum semakin menjadi-jadi dalam masyarakat Islam sekarang dan perkara ini lebih menyedihkan sekiranya dituturkan oleh seorang pegawai agama berpangkat tinggi. Sewajarnya beliau tidak bercakap mengenai hukum terlebih dahulu sekiranya tidak pasti dan yang terbaik ialah menyatakan bahawa pihak beliau bersedia untuk menyiasat kes tersebut.

Ini kerana para ulama telah membahaskan persoalan bukan Islam memasuki masjid dan tiada larangan secara mutlaq ke atas mereka dalam kes ini. Di sini saya membawa beberapa nas kitab dan fatwa yang boleh dirujuk oleh beliau untuk menyiasat kes ini secara lebih terperinci.

1. Fatwa Al-Azhar:

فقال أهل المدينة (مذهب مالك) يمنع المشركون من دخول سائر المساجد،
وقال الشافعى إنهم يمنعون من دخول المسجد الحرام ولا يمنعون من دخول غيره .
وقال أبو حنيفة وأصحابه لا يمنع اليهود والنصارى من دخول المسجد ولا غيره
ولعل استقبال الرسول صلى اللّه عليه وسلم لنصارى بنى نجران فى المسجد يؤيد القائلين بجواز دخول غير المسلمين المساجد، ومما يؤكد هذا أيضا ما ثبت من أن رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم ربط ثمامة فى المسجد وهو مشرك، وقد قيل إن هذا كان لينظر ثمامة حسن صلاة المسلمين واجتماعهم عليها وحسن آدابهم فى جلوسهم فى المسجد، فيستأنس بذلك ويسلم

Terjemahan:

Mazhab Maliki : Ditegah orang musyrik daripada memasuki keseluruhan masjid.
Mazhab Syafie: Ditegah memasuki masjidil haram bukan masjid-masjid selainnya
Mazhab Hanafi : Tidak ditegah Yahudi dan Nasrani daripada masuk ke masjid dan selainnya
Boleh jadi sambutan Nabi terhadap Bani Najran di Masjid menguatkan pendapat golongan yang berkata keharusan bukan Islam masuk ke masjid dan yang memperkuatkan lagi pendapat ini apa yang telah sabit bahawa Rasulullah telah mengikat sumamah di Masjid yang masih musyrik dan dikatakan perbuatan tersebut dilakukan supaya beliau boleh melihat keelokkan solat orang Islam dan perhimpunan mereka serta kebaikan adab mereka dalam masjid maka akan mempermudahkan nya untuk memahami dan memeluk Islam

Pandangan yang hamper sama juga telah dikeluarkan oleh Ulama Saudi. Di dalam kitab Asnal Matholib (mazhab syafie):

وَلَيْسَ لِلْكَافِرِ وَلَوْ غَيْرَ جُنُبٍ دُخُولُ الْمَسْجِدِ إلَّا أَنْ يَكُونَ لِحَاجَةٍ كَإِسْلَامٍ وَسَمَاعِ قُرْآنٍ

Tidak dibenarkan bagi seorang kafir walaupun tidak berjunub masuk ke masjid malainkan sekiranya ada hajat seperti memeluk Islam dan mendengar Al-Quran.

Kesimpulan:

Difahami daripada nas-nas tersebut tidak ada satu halangan kepada ahli parlimen DAP tersebut memasuki masjid untuk memberikan sumbangan kepada rakyat kerana beliau merupakan seorang pemimpin bahkan perbuatan tersebut juga boleh dianggap sebagai usaha untuk memberikan hidayah (asbabul hidayah) kepada beliau.

Wallahu A’lam

BADAR AL-KUBRA: PERTEMBUNGAN ANTARA TENTERA ALLAH DAN TENTERA TOGHUT



Pada hari ini (17 Ramadan) tahun kedua hijrah telah berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah Islam yang tidak wajar dilupakan oleh seluruh umat Islam. Peristiwa tersebut ialah peristiwa peperangan Badar Al-Kubra yang merupakan satu pertembungan antara tentera yang dipimpin oleh Baginda Rasulullah s.a.w dan tentera kuffar Quraisy.

Peristiwa ini adalah merupakan permulaan operasi jihad al-qital di dalam Islam dan tenteranya yang berjumlah 313 orang daripada kalangan sahabat merupakan batalion syuhada yang menyaksikan seramai 14 orang sahabat Rasulullah telah menemui syahid. Bermula peperangan ini gerakan jihad di dalam Islam tidak pernah berakhir dan akan berterusan sehinggalah hari Qiamat.

Walaupun peperangan ini bukanlah satu peperangan yang besar dari segi jumlah, masa dan saiznya kerana tidak berlarutan lebih daripada sehari manakala jumlah korbannya hanya 14 di pihak muslimin dan 70 di pihak musyrikin, tetapi kesan yang diperolehi daripadanya amat besar. Ianya tidak sama dengan peperangan lain yang memakan masa selama bertahun-tahun bahkan berpuluh tahun serta angka korban yang mencapai angka puluhan ribu kerana apa yang dinilai ialah objektif peperangan ini yang melakar sejarah permulaan pertembungan berdarah antara kebenaran dan kebatilan, antara tauhid dan juga syirik sehingga digelar dalm al-quran sebagai yaum al-furqan (hari pemisahan):

(وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان)

“Dan tidaklah kali turunkan kepada hamba kami pada hari Al-Furqan pada Hari pertemuan dua pihak”
Rasulullah s.a.w sendiri telah menzahirkan kepentingan dan kehebatan peperangan ini dengan satu doa baginda sehingga kain rida’ yang dipakai baginda terjatuh daripada bahunya ketika mengangkat tangan kerana bersungguh-sungguh dalam doanya yang mana ianya berbunyi:

"اللهم انصر هذه العصابة، اللهم إن تهلك هذه العصابة فلن تُعبد في الأرض بعد اليوم"

“Ya Allah, Kau Berilah kemenangan kepada kaum ini, Ya Allah sekiranya hancurnya kaum ini maka nescaya Engkau tidak lagi disembah di muka bumi selepas hari ini”
Maksud yang ingin dinyatakan oleh baginda dalam doa ini adalah kepenting peperangan yang sedang dihadapi kaum muslimin yang mana ia akan menentukan nasib agama Islam dan tauhid serta ibadah kepada Allah kerana kumpulan muslimin tersebut merupakan kumpulan sahabat yang membawa agama Allah yang terakhir dan tiada lagi Nabi selepas Muhammad serta tiada lagi kitab selepas Al-Quran serta tiada lagi syariat selepas syariat Islam. Sekiranya kumpulan badar ini tewas nescaya akan tewaslah Islam dan berakhirlah agama tauhid di muka bumi ini.

Dalam peperangan ini telah berlaku beberapa babak-babak yang membuktikan ketinggian keimanan para sahabat baginda Rasulullah s.a.w dan kejayaan baginda mentarbiyah para jamaah muslimin samada kaum ansar dan muhajirin yang dibentuk di dalam madrasah nabawiyyah selama 13 tahun di Makkah dan selepas 2 tahun di Madinah.

Ketika mana Rasulullah bermusyawarah dengan para sahabat berkaitan kesediaan mereka untuk pergi berperang maka salah seorang daripada mereka yang bernama saidina Miqdad bin Al-Aswad berkata:

: يا رسول الله والله لا نقول لك كما قالت بنو إسرائيل لموسى اذهب أنت وربك فقاتلا إنا ها هنا قاعدون، بل نقول لك اذهب أنت وربك فقاتلا إنا معكما مقاتلون

“Wahai Rasulullah, Demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana seperti mana berkatanya Bani Israel kepada Nabi Musa: Pergilah kamu dan tuhanmu dan berperanglah kamu berdua sedangkan kami ingin tinggal di sini, tetapi kami berkata kepadamu: Pergilah kamu dan tuhanmu maka berperanglah sesungguhnya kami akan berperang bersama kamu berdua”
Berkata pula saidina Saad Bin Muaz yang mewakili kaum Ansor:

يا رسول الله كأنك تريدنا، والله يا رسول الله لقد آمنا بك وصدَّقناك وأيقنا أن ما جئت به هو الحق، والله لو استعرضت بنا هذا البحر فخضته لخضناه وراءك ما تخلف منا رجل واحد وإنا لصُبُر في الحرب، صُدُق عند اللقاء، سالم بنا من شئت وحارب بنا من شئت لعل الله يريك منا ما تقر به عينك

“Wahai Rasulullah, seolah-olah kamu menginginkan kami. Demi Allah wahai Rasulullah, sesungguhnya kami beriman pada denganmu dan kami membenarkan kamu dan kami yakin sesungguhnya apa yang dibawa kamu adalah kebenaran. Demi Allah sekiranya dibentangkan kepada kami lautan luas kemudian engkau merentasinya nescaya kami akan merentasinya bersama di belakangmu dan tidak akan ada orang yang tertinggal walaupun seorang. Sesungguhnya kami orang-orang yang sabar dalam peperangan, benar dalam pertemuan, berdamailah dengan sesiapa pun yang engkau mahu bersama kami dan perangilah sesipa pun yang engkau mahu bersama kami semoga Allah menunjukkan apa yang menyejukkan matamu.”

Demikianlah beberapa perkara yang boleh kita ambil sebagai pengajaran dan iktibar menerusi peristiwa peperangan badar semoga iman kita di bulan Ramadan ditingkatkan oleh Allah.

Wednesday, August 25, 2010

Selamat Pulang


1. Sehingga hari ini ( 26 Ogos 2010), sudah 3 hari saya berada di tanah air dan bumi kelahiran saya, Kelantan Darul Naim. Setakat ini belum ada apa-apa program yang saya isi melainkan hanya menjadi imam solat terawih bersama keluarga. Barangkali dalam minggu ini saya lebih suka untuk berehat terlebih dahulu sebelum terus berkecimpung dalam aktiviti dakwah dan tarbiyah atau aktiviti parti. Pastinya banyak aktiviti dan program yang sedang menunggu dan menjadi kewajipan bagi saya untuk menyertai serta memberikan sumbangan dan juga tenaga bagi menjayakannya. Walau apapun saya bersedia untuk memberikan tenaga on call kepada mana-mana sahabat seperjuangan yang memerlukan bantuan setakat yang termampu.

2. Mungkin sesetengah daripada sahabat saya telah maklum tujuan kepulangan saya ke tanah air sedangkan pengajian saya di peringkat sarjana di Universiti Zamalek, Mesir belum lagi selesai dan masih lagi diperingkat awal. Cuma apa yang saya boleh maklumkan di sini bahawa kepulangan saya bukanlah bersifat Niha'iyyan (pulang tidak kembali) bahkan ianya bersifat cuti panjang yang perlu diisi dengan pengalaman dakwah dan tarbiyah harakiyyah di samping mencari kewangan untuk menyara keluarga serta isteri yang juga masih lagi menuntut di bumi Al-Azhar. Saya mohon doa para sahabat sekalian semoga usaha dan cita-cita untuk menamatkan pengajian sarjana di bumi Mesir pada tahun-tahun mendatang serta segala perancangan dapat direalisasikan.

3. Setakat ini secara rasminya saya belum memutuskan untuk memilih apa-apa pekerjaan samada menjadi guru, pegawai dan lain-lain cuma yang pasti kerja tidak rasmi sebagai penyampai amanah ilmu Allah tetap saya teruskan samada ketika berada di Mesir atau di Malaysia. Namun, sudah ada beberapa perancangan yang telah saya fikirkan untuk dijadikan projek permulaan. Ringkasnya, semuanya bergantung kepada usaha dan tawakkal kepada Allah. Saya mohon doa kalian.

p/s: merindui perjuangan bersama badan pengurus PMRAM dan sahabat-sahabat di Mesir...




Tuesday, August 10, 2010

PENUTUP PROGRAM KEKAL'10


Jadikan PMRAM Universiti Yang Ke-2 - Penasihat PMRAM


KAHERAH, 7 Ogos - Penutupan Karnival Kenangan 80 Tahun PMRAM (KEKAL) sempena Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan telah menutup tirainya dengan majlis perasmian penutupan yang dirasmikan oleh Saudara Khairul Anuar Ismail, Anggota Lembaga Penasihat PMRAM 2010.

Beliau yang merasmikan penutupan itu telah memberikan beberapa amanat dan nasihat penting kepada seluruh ahli, aktivis dan pendokong PMRAM di Dataran Hayyu Asyir.

"Disana ada satu tugasan, ada satu kerja yang diberikan kepada orang beriman untuk membuktikan keimanan mereka. Di dalam ayat-ayat Allah banyak tugasan-tugasan yang diberikan kepada mereka yang mengaku yang mereka ini beriman. Inilah yang sebenar PMRAM hendak daripada ahli"

"PMRAM ingin mengajar kepada ahli supaya kita lebih banyak membuat kerja, membuktikan keimanan, menyatakan bahawasanya kita ini beriman dengan kerja kita lakukan, dengan lisanul hal kita, bukan lisanul maqal semata-mata" ujar beliau dengan nada penuh semangat.

"Kita mahu mereka yang bekerja, kita inginkan mereka yang beramal bukan setakat bercakap, bukan setakat berkata "aku beriman kepada Allah" tetapi tidak ada istiqamah" tambahnya lagi

"Betapa pentingnya untuk kita belajar bekerja untuk Islam, penting untuk diri kita melatih kerja untuk Islam, sebab tanpa latihan sebegini kita tidak akan rasa nikmat berukhuwwah, tidak akan rasa nikmat perpaduan, kita tidak akan rasa nikmat kemerdekaan sebenar-benarnya, tidak akan rasa nikmat bebas menjadi hamba Allah, dengan erti kata lain bebas untuk menyatakan kebenaran, dan laksanakan keadilan"

"Jadikan PMRAM Universiti yang kedua, kalau Universiti Al-Azhar merupakan Universiti tertua di dunia. Maka Univeriti PMRAM adalah persekutuan pelajar yang tertua di dunia" ujar beliau dengan tepukan gemuruh hadirin yang hadir.

Beliau menutup perasmian ucapan itu dengan harapan agar Persekutuan ini terus utuh memayungi seluruh anak-anak Melayu Islam di bumi Mesir.