Thursday, August 26, 2010

HUKUM BUKAN ISLAM MEMASUKI MASJID


Utusan Malaysia pada hari ini (27 ogos 2010) telah menyiarkan satu berita berkaitan tindakan tegas yang akan diambil oleh JAIS terhadap jawatankuasa surau Al-Huda, Kajang Sentral kerana telah menjemput Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada ahli-ahli Pas, Ahad lalu.

Memetik daripada berita tersebut, perbuatan itu kononnya tidak dibenarkan mengikut Islam dan pengarahnya juga telah berkata:

“Orang bukan Islam adalah dilarang memasuki ruang solat kerana mereka ini dalam berkeadaan hadas besar apatah lagi berada di bahagian imam dan menyampaikan ucapan kepada umat Islam di dalamnya. “Oleh itu, kita akan mendapatkan laporan dan penjelasan daripada nazir serta jawatankuasa surau berkenaan mengenai perkara ini. Jika dakwaan ini benar, kita akan memaklumkan kepada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan tindakan tegas akan diambil,”
Komen saya:

Kejahilan berkaitan hukum semakin menjadi-jadi dalam masyarakat Islam sekarang dan perkara ini lebih menyedihkan sekiranya dituturkan oleh seorang pegawai agama berpangkat tinggi. Sewajarnya beliau tidak bercakap mengenai hukum terlebih dahulu sekiranya tidak pasti dan yang terbaik ialah menyatakan bahawa pihak beliau bersedia untuk menyiasat kes tersebut.

Ini kerana para ulama telah membahaskan persoalan bukan Islam memasuki masjid dan tiada larangan secara mutlaq ke atas mereka dalam kes ini. Di sini saya membawa beberapa nas kitab dan fatwa yang boleh dirujuk oleh beliau untuk menyiasat kes ini secara lebih terperinci.

1. Fatwa Al-Azhar:

فقال أهل المدينة (مذهب مالك) يمنع المشركون من دخول سائر المساجد،
وقال الشافعى إنهم يمنعون من دخول المسجد الحرام ولا يمنعون من دخول غيره .
وقال أبو حنيفة وأصحابه لا يمنع اليهود والنصارى من دخول المسجد ولا غيره
ولعل استقبال الرسول صلى اللّه عليه وسلم لنصارى بنى نجران فى المسجد يؤيد القائلين بجواز دخول غير المسلمين المساجد، ومما يؤكد هذا أيضا ما ثبت من أن رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم ربط ثمامة فى المسجد وهو مشرك، وقد قيل إن هذا كان لينظر ثمامة حسن صلاة المسلمين واجتماعهم عليها وحسن آدابهم فى جلوسهم فى المسجد، فيستأنس بذلك ويسلم

Terjemahan:

Mazhab Maliki : Ditegah orang musyrik daripada memasuki keseluruhan masjid.
Mazhab Syafie: Ditegah memasuki masjidil haram bukan masjid-masjid selainnya
Mazhab Hanafi : Tidak ditegah Yahudi dan Nasrani daripada masuk ke masjid dan selainnya
Boleh jadi sambutan Nabi terhadap Bani Najran di Masjid menguatkan pendapat golongan yang berkata keharusan bukan Islam masuk ke masjid dan yang memperkuatkan lagi pendapat ini apa yang telah sabit bahawa Rasulullah telah mengikat sumamah di Masjid yang masih musyrik dan dikatakan perbuatan tersebut dilakukan supaya beliau boleh melihat keelokkan solat orang Islam dan perhimpunan mereka serta kebaikan adab mereka dalam masjid maka akan mempermudahkan nya untuk memahami dan memeluk Islam

Pandangan yang hamper sama juga telah dikeluarkan oleh Ulama Saudi. Di dalam kitab Asnal Matholib (mazhab syafie):

وَلَيْسَ لِلْكَافِرِ وَلَوْ غَيْرَ جُنُبٍ دُخُولُ الْمَسْجِدِ إلَّا أَنْ يَكُونَ لِحَاجَةٍ كَإِسْلَامٍ وَسَمَاعِ قُرْآنٍ

Tidak dibenarkan bagi seorang kafir walaupun tidak berjunub masuk ke masjid malainkan sekiranya ada hajat seperti memeluk Islam dan mendengar Al-Quran.

Kesimpulan:

Difahami daripada nas-nas tersebut tidak ada satu halangan kepada ahli parlimen DAP tersebut memasuki masjid untuk memberikan sumbangan kepada rakyat kerana beliau merupakan seorang pemimpin bahkan perbuatan tersebut juga boleh dianggap sebagai usaha untuk memberikan hidayah (asbabul hidayah) kepada beliau.

Wallahu A’lam

No comments:

Post a Comment