Sunday, October 16, 2011

DAKWAH BUKAN ISLAM: REALITI YANG PERLU DIINSAFI

Dakwah Islamiah kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia adalah suatu amal yang penting untuk dilaksanakan oleh pendakwah. Menyampaikan risalah Islam kepada manusia sejagat merupakan tanggungjawab setiap Muslim baik saudara baru mahupun di sebaliknya seperti yang ditunjukkan oleh sunnah baginda Rasulullah s.a.w. Baginda diutuskan untuk alam sejagat sebagai suatu rahmat dan menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat bukan Islam adalah bertepatan dengan tuntutun menyebarkan rahmat Allah itu. Ia juga berperanan menyumbang kepada keharmonian negara dalam jangka panjang di samping mewujudkan masyarakat bersatupadu yang mampu mempertahankan negara kita.

Hari ini, masyarakat bukan Islam khususnya di Malaysia kelihatan seolah-olah terasing dari medan dakwah. Walaupun telah tinggal bersama dengan masyarakat Islam, peningkatan bilangan mereka yang memeluk Islam tidaklah merupakan angka yang memberansangkan.

Islam yang syumul dan sempurna tidak menjadi faktor penarik kepada mereka untuk mendekatinya. Situasi yang sama juga berlaku di perkampungan-perkampungan orang asli di mana agama Kristian lebih diterima dan mudah disebarkan berbanding dengan agama Islam.

Kewujudan beberapa instituti yang dibiayai oleh pihak kerajaan mahupun swasta tidak menampakkan kesan yang membanggakan di mana usaha-usaha untuk menarik golongan bukan Islam seoalah-olah tidak mendatangkan hasil. Seandainya diukur dengan perjuangan Rasulullah SAW selama 23 tahun merubah masyarakat arab jahiliyyah kepada umat yang kuat dan bertamadun, maka masa 50 tahun negara mencapai kemerdekaan dilihat terkebelakang dari sudut usaha menyebarkan Islam.


Islam sebaga satu cara hidup yang mempunyai nilai-nilai yang tinggi tidak begitu difahami dan kurang dapat disaksikan oleh masyarakat bukan Islam amnya baik di Malaysia mahupun di Barat. Media umumnya dan media Barat khususnya amat prejudis dan sering memberikan gambaran buruk dan negatif terhadap dikaitkan secara sedar atau tidak dengan Islam. Ungkapan 'fundamentalist,' extremist', 'terrorist,' dan 'conservative' atau kolot sering dikaitkan dengan Islam. Umat Islam digambarkan sebagai mundur dan jahil dan Islam dipamerkan sebagai ketinggalan zaman dan tidak relevan.

Gambaran negatif oleh media Barat begini merupakan penerusan dari semangat peperang salib dan juga usaha pergerakan zionis yang terus memerangi Islam dan umat Islam. Dakwah kepada non-Muslim menerima padah dari angkara media yang tidak saksama ini.

Menurut al-Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya, ayat di atas menunjukkan hukum dakwah menjadi satu kewajipan yang perlu dilaksanakan dan oleh setiap individu Muslim. (Ibnu Kathir 2001, hal 245)

Syeikh Mustaffa Masyhur dalam bukunya yang berjudul Thariq Fi Ad-Dakwah (Jalan-Jalan Dakwah) menyebut tiga tahap dakwah, iaitu:

a) Taarif (penerangan/pengenalan) – Tahap ini adalah untuk memperkenalkan, menyampaikan idea, gagasan atau untuk menggambarkan kepada khalayak atau sasaran tentang dakwah yang hendak disampaikan.

b) Takwin (pembinaan/pembentukan) – Tahap pembentukan, pembinaan pendakwah dan pemantapan mesej yang disampaikan.

c) Tanfiz (pelaksanaan) – Tahap beramal, berusaha dan melaksanakan dakwah bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan. (Mustaffa Masyhur : 2005, hal 12)

Berdasarkan tiga tahap yang dinyatakan oleh tokoh ilmuwan itu, ternyata dakwah adalah perjalanan yang panjang dan berliku. Untuk itu, petugas dakwah atau individu yang bergerak dalam usaha-usaha dakwah atau organisasi yang melaksanakan kerja dakwah perlu menyiapkan diri atau organisasi masing-masing pada tahap yang maksimum dan bersedia bukan pada tahap ala kadar atau sambil lewa kerana dakwah akan menghadapi pelbagai rintangan dan ujian yang tidak terduga atau kadang-kadang di luar jangkaan manusia.

Dalam situasi masyarakat masa kini yang mengharungi pelbagai cabaran dan dalam era globalisasi, dakwah perlu digerakkan sebagai membimbing manusia ke jalan yang betul. Oleh yang demikian, setiap individu Muslim perlu berganding bahu untuk sama-sama melaksanakan usaha dakwah, menyampaikan ajaran Islam serta memberi kesedaran mengenai ketinggian Islam bagi mewujudkan masyarakat Muslim yang terbaik.

No comments:

Post a Comment