Dr Yusuf al-Qaradawi telah berkali-kali untuk menolak tawaran jawatan sebagai Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin kerana dia lebih suka menjadi Mursyidul Am Ummat Islam. Beliau juga mengatakan bahawa aliran Salaf tradisional telah berubah menjadi aliran yang pelbagai yang mana terdapat daripadanya aliran yang lebih mendekati Ikhwanul Muslimin dan di sana juga ada aliran Salaf mendekati pendekatan kesederhanaan (wasotiyyah) , Tambah lagi, kata beliau dalam sebuah wawancara panjang dengan As-Syarqul Awsath: “Ada orang yang mengatakan kepada golongan Salafi: Kamu sudah mula berbicara seperti Qaradawi”. Perubahan yang paling menonjol - mengikut perhitungannya – adalah penyertaan mereka dalam medan politik, selepas mereka sering mencela pendekatan Ikhwan Muslimin terhadap soal politik dalam tempoh yang lama, di samping menegaskan bahawa mereka sudah membangunan dalam isu-isu fiqhiyyah seperti masalah hukum bergambar. Al-Qaradhawi menjelaskan bahawa relaliti dan fakta menuntut aliran Salaf berubah di sebalik hubungan mereka dengan dunia luar dan masyarakat yang berbeza.
Sheikh Yusuf al-Qaradawi, yang ingin mati syahid di tangan bukan Islam (kafir), tidak menafikan bahawa dia akan mendapat ancaman orang Islam yang ekstrim, disebabkan Fikah Islam berhadapan dengan krisis yang berkaitan dengan isu wanita yang sebenarnya tidak boleh dikaitkan dengan undang-undang Islam itu sendiri. Cuma ia sebenarnya adalah krisis kefahaman masyarakat tentang masalah ini. Beliau berkata sambil menunjukkan bahawa gerakan Salafi adalah gerakan yang paling radikal dalam kes ini. Namun akhir-akhir ini mereka telah mula bersama gelombang pemikiran baru yang menyebabkan terciptanya fleksibiliti dalam pemikiran mereka. Berikut ini adalah transkrip wawancara beliau:
Wartawan: Syeikh, biarkan kita mulai bicara ini dengan penilaian terhadap gerakan Islam. Pelbagai kritikan diarahkan terhadap prestasi gerakan Islam, terutama soal kerahsiaan dan kurangnya transparansi, apa komen anda?
Al-Qaradawi: Mula-mula sekali, kami ingin bertanya apa erti gerakan politik Islam? Saya mempunyai sebuah buku bertajuk Aulawiyyat Al-Harakah Al-Islamiyyah-keutamaan dalam gerakan Islam», dan saya mendefinasikan gerakan Islam sebagai gerak kerja masyarakat yang kolektif untuk berkhidmat kepada Islam, yang harus berdasarkan kepada gerak kerja masyarakat yang tidak formal, dan juga dilakukan secara berjamaah dan bukannya berbentuk individu kerana gerakan individu mustahil mampu mencapai matlamat yang besar. Ia juga harus disusun secara sistematik dengan kepimpinan dan prinsip yang mana tujuannya adalah kemenangan Islam. Jadi, dalam gerakan Islam mesti wujud hubungan dengan politik. Usaha memartabatkan Islam tidak akan berjaya, kecuali dengan wujudnya pengaruh kuat dan kesan mendalam terhadap batang tubuh Islam itu sendiri dan juga tabiatnya samada berbentuk dakwah, negara, akidah, syariat, agama dan dunia, yang semuanya harus berkaitan dengan politik.
Wartawan: Bagaimana dengan kerahsiaan gerakan Islam?
Al-Qaradawi: Tidak semua gerakan Islam, seperti yang dijelaskan berdasarkan kerahsiaan, namun bergantung pada negara di mana anda berada, jika sebuah negara membolehkan untuk melakukan kerja-kerja Islam dan tidak dilarang secara undang-undang atau perlembagaan dan mampu beroperasi secara terbuka, seperti Jamaah Islamiyyah Pakistan, yang diasaskan oleh Al-Ustaz Abu ‘Ala Maududi, sejak awal penubuhannya, bekerja secara terbuka. Ikhwan Muslimin pula diklasifikasikan sebagai gerakan haram, sehingga negara (Mesir) tidak membenarkan gerak kerja Islam beroperasi secara terbuka selain menghalang pembentukan parti berasaskan Islam, dengan alasan mencegah pembentukan parti-parti mempergunakan dasar agama. Saya hairan, adakah orang-orang beragama dilarang terlibat dalam politik dan penyertaan dalam pembangunan bangsa dan tanah air? Tidak ada keraguan lagi bahawa ini adalah satu kejahatan. Agama adalah asas kehidupan, dan orang yang beragama harus menyertai usaha pembangunan bangsa melalui pendapatnya sendiri tanpa mengira apakah itu pendapat politik dan ekonomi atau melakukan pembangunan secara pendidikan atau dari segi kesihatan. Negara yang menghalang usaha ini pasti akan mendorong untuk bekerja di bawah tanah. Saya telah diminta oleh pegawai Keselamatan Negara (Mesir) dalam sebuah pertemuan untuk menyatakan pendapat saya tentang Ikhwanul Muslimin di Mesir, lalu saya menuntut mereka memberikan kebebasan untuk bekerja secara terbuka. Apakah sebenarnya yang boleh menghalang Ikhwan menubuhkan parti? Sekiranya me reka menghalang gerak kerja terbuka maka masyarakat akan mula bekerja di dalam terowong. Oleh itu, Gerakan Islam terpaksa beroperasi secara rahsia dan ia sebuah situasi yang tidak sihat. Sekiranya dia bekerja secara terbuka maka anda dapat membuat muhasabah terhadap kerjanya dan melakukan kritikan, tapi yang bekerja secara rahsia, bagaimana mahu muhasabah?
Wartawan: Adakah kerajaan membesar-besarkan bahaya gerakan politik Islam, kerana takut bahawa gerakan-gerakan ini menuntut kelayakannya untuk memerintah?
Al-Qaradawi: Ada ketika ia adalah kebimbangan yang realiti, dan ada ketika ia tidak lebih dari sekadar ilusi belaka, banyak kerajaan yang ada saat ini tidak mempunyai sokongan, dan kerajaan dibenci rakyat, memerintah negara dengan besi dan api serta tentera undang-undang darurat, bukan aturan dengan persetujuan rakyat. Mungkin pilihan raya diadakan atas nama parlimen dan demokrasi yang dibentuk, tetapi itu benar-benar tidak mencerminkan kepuasan masyarakat dan berlaku kecurangan, sebagaimana kata seorang veteran Sosialis bahawa pemilihan di negara sosialis “Perlumbaan yang hanya ada satu kuda yang berlumba”. Lalu hasilnya calon menang 99,99%.
Wartawan: Syeikh, bagaimana anda melihat apa yang dikatakan sebagai perpecahan di dalam gerakan-gerakan Islam antara kumpulan diplomasi dan kumpulan revolusi?
Al-Qaradawi: Kerap terjadi perpecahan baik dalam gerakan-gerakan Islam atau bukan Islam, kerana ada orang-orang yang tidak suka berdiam diri dan perangainya yang suka akan kekerasan dan revolusi serta dia mendapati ada kumpulan lain menggunakan pendekatan kekerasan, tapi yang penting dalam semua itu adalah kewujudan gerakan pusat, yang sering bertahan (tidak berpecah), yang tidak dapat diapa-apakan oleh mereka yang suka melakukan perpecahan dan mereka lebur dalam masyarakat.
Wartawan: Tapi, mengapa gerakan-gerakan Islam gagal dalam perlaksanaannya ?
Al-Qaradawi: Isu ini tidak terhad hanya pada gerakan Islam, tetapi melibatkan semua gerakan-gerakan yang membawa prinsip-prinsip yang dianjurkan. Ada ketika di mana perlaksanaan menjadi hanya satu seruan manakala aplikasi terhadap seruan itu satu perkara lain dan ini adalah sifat manusia itu sendiri. Tidak semua gerakan sedemikian dan menjadi satu kesalahan menghukum semua dengannya. Walaupun begitu, gerakan Islam lebih baik daripada yang lain kerana agama memeliharanya daripada penyimpangan. Dalam masa yang sama, gerakan Demokratik adalah gerakan yang pertama mencabul prinsip-prinsip demokrasi itu sendiri.
bersambung..
No comments:
Post a Comment