Saturday, May 29, 2010

TAHAALUF SIASI (PERJANJIAN POLITIK) DALAM ISLAM-SIRI 2


Sebelum ini sudah disiarkan siri pertama berkaitan konsep Tahaaluf Siasi dalam Islam dalam blog ini. Sila lihat (link)

Kedua: Perjanjian Rasulullah dengan Muth'im Bin 'Adiyy

Perjanjian ini dilaksanakan setelah mana berlalunya tahun ke sepuluh kenabian iaitu tahun kesedihan ('Amul Huzn) apabila Abi Tholib meninggal dunia dan Sayyidatina Khadijah wafat. Rasulullah pada ketika itu ibarat kehilangan satu benteng besar dalam menggerakkan dakwah baginda yang agung.

Baginda cuba mencari sinar harapan dengan berhijrah ke Toif agar dakwah dapat berkembang tetapi malangnya baginda disambut dengan penuh kebencian.

Oleh kerana baginda tidak mendapat tempat di hati masyarakat thoif pada ketika itu, baginda mengambil langkah untuk kembali ke Mekah. Sesampainya Rasulullah di Hira', baginda mengutuskan seorang daripada sahabatnya daripada Bani Khaza'ah untuk mencari perlindungan. Setelah ditolak oleh beberapa orang pada ketika itu, akhirnya Muth'im Bin 'Adiyy menerima permintaan daripada Rasulullah untuk melindungi baginda. Sistem perlindungan ini dinamakan sebagai sistem Al-Jiwar yang mana amat dihormati oleh kabilah-kabilah Arab sekiranya dilakukan oleh orang yang berkelayakan. Muthim Bin Adiyy kemudian mengarahkan kepada pengikut-pengikutnya supaya bersiap sedia dengan senjata untuk menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku sepenjang perlindungan beliau tersebut.

Keempat : Rasulullah menyeru qabilah Arab supaya melindungi dakwah baginda

Ketika mana Rasulullah mendapat arahan daripada Allah s.w.t untuk menyatakan secara terang-terangan dakwah baginda kepada kaum musyrikin, Rasulullah juga menyeru kepada mana-mana kabilah untuk melindungi dakwah baginda tersebut apabila melihat qabilah kafir quraisy enggan melayani dan menolak secara keras dan penuh kezaliman apa yang diseru baginda sendiri.

Setiap kali tibanya musim para qabilah berkumpul di Makkah atas urusan haji atau perdagangan dan lain-lain, Rasulullah akan menyeru supaya mereka beriman dengan Allah dan melindungi usaha baginda untuk menyampaikan dakwah.

Terdapat kabilah yang berminat untuk menyahut seruan Rasulullah. Antara qabilah tersebut ialah Bani Amir Bin Sho'so'ah. Namun, pada akhirnya mereka menolak untuk melakukan tahaaluf kerana apabila mereka bertanyakan Rasulullah adakah mereka akan mendapat kuasa selepas itu daripada umat Islam, Rasulullah menjawab, "Urusan tersebut terserah kepada Allah. Dia akan meletakkannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki". Walaupun usaha ini tidak berjaya tetapi memberikan iktibar besar kepada gerakan Islam dalam soal perjanjian politik.

Difahami daripada perbuatan baginda bahawa ketika mana umat Islam lemah maka tidak mengapa untuk mencari bantuan daripada bukan muslim untuk melindungi mereka selagi mana tidak memberikan kepada mereka hak untuk menguasai umat Islam sendiri.

Daripada perkara-perkara di atas, jelas bahawa di sana terdapat piawaian untuk melakukan sebarang perjanjian dengan bukan Islam. Antaranya adalah :

1. Sebarang tahaaluf yang menggugurkan dasar perjuangan adalah tahaaluf yang batil sebagaimana yang difahami daripada perbuatan baginda menolak perdamaian daripada Quraisy melalui Abi Tholib yang mensyaratkan Rasulullah menghentikan urusan dakwah.

2. Perjanjian yang disepakati di atas dasar persamaan hadaf dan tujuan antara muslimin dan musyrikin seperti soal menegakkan keadilan, menolong orang yang berada dalam kesusahan adalah dibenarkan sebagaimana dalam hilf al-fudhul, hilf muthayyibin, sistem Al-Jiwar dan lain-lain.

3. Tahaaluf tersebut tidak menyebabkan gugurnya salah satu ajaran Islam dan tergendala urusan dakwah atau menimbulkan fitnah yang besar terhadap Islam.

4. Tahaaluf boleh dilaksanakan untuk mengelakkan daripada sebarang bentuk tindakan yang boleh menyebabkan terbunuhnya para pendokong, dipenjara, atau mana-mana tindakan kezaliman ke atas mereka sebagaimana yang dilakukan oleh Muthim Bin Adiyy.

5. Tidak boleh mensyaratkan kedudukan yang memberikan kuasa kepada kaum musyrikin untuk menguasai umat Islam setelah Islam mendapat kemenangan sebagai mana baginda tidak menjamin sebarang bentuk kuasa kepada qabilah yang ingin melindunginya setelah dakwah baginda menjadi kuat.

6. Sebarang tahaaluf hendaklah melaui proses perancangan politik yang bijak agar umat Islam tidak menjadi mangsa perangkap musuh sendiri.

Kelima : Perjanjian ke arah menegakkan Daulah Islamiyyah

a. Perjanjian Aqabah pertama

Dalam perjanjian Aqabah pertama seramai 12 orang lelaki daripada kaum Ansar telah menemui Rasulullah s.a.w. dan berjanji agar tidak mensyirikkan Allah, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh keturunan mereka, tidak berdusta, dan tidak menderha Rasulullah dalam perkara makruf.

Sesungguhnya perjanjian ini merupakan asas kepada kesatuan muslimin daripada kabilah Aus dan Khazraj dan juga asas kepada terbinanya sebuah negara Islam di Madinah Al-Munawwarah.

b. Perjanjian Aqabah kedua

Dalam perjanjian ini pula seramai 70 orang lebih yang datang menemui Rasulullah untuk menyatakan keIslaman mereka dan melakukan perjanjian dengan Rasulullah. Di kalangan mereka terdapat 2 orang wanita yang turut sama berbaiah. Perjanjian ini merupakan asas kepada Hijrah baginda ke Madinah al-Munawwarah dan penyediakan 'qaidah Sulbah' dengan melantik seramai 12 naqib daripada mereka sebagai tunjang kekuatan mereka untuk berhadapan segala kemungkinan yang akan berlaku.

Keenam : Perjanjian politik dalam Perlembagaan Madinah dengan Kaum Yahudi

Penduduk Madinah adalah terdiri daripada banyak kabilah dan mereka adalah daripada bangsa Arab Musyrikin dan kaum Yahudi yang datang menetap di situ. Pada ketika itu terdapat 3 kabilah yahudi iaitu Bani Quraizah, Bani Nadhir dan Bnai Qainaqa'.

Di dalam perlembagaan yang telah dibina oleh Rasulullah, Kaum yahudi telah mendapat keadilan yang sewajarnya dalam negara Islam selagi mana mereka tidak melanggar perjanjian tersebut. Dengan ini segala pengkhianatan yang dilakukan oleh mereka dapat dielakkan da sekiranya mereka melanggarnya maka hukuman akan dikenakan. Oleh itu, segala tindakan Rasulullah terdapat kaum yahudi selepas pembentukan perlambagaan ini adalah disebabkan keengganan kaum Yahudi sendiri untuk patuh terhadap perlembagaan.

Ketujuh : Perjanjian Hudaibiyyah

Pada bulan Zul Kaedah, akhir tahun keenam hijrah, telah berlaku satu perjanjian politik antara kaum Muslimin dan musyrikin Quraisy yang dinamakan perjanjian hudaibiyyah. Sebab berlakunya perjanjian ini adalah kerana halangan yang dilakukan oleh pihak kafir Quraisy terhadap Rasulullah apabila baginda menuju ke Mekah untuk melakukan umrah bersama kaum muslimin.

Setelah baginda mengetahui perkara tersebut, baginda memberikan pilihan kepada kaum musyrikin Quraisy sama ada untuk membiarkan mereka masuk ke Mekah tanpa sebarang penentangan atau mereka mahu diperangi atau pun berdamai dan dalam masa yang sama umrah akan ditangguh sehingga tiba masanya.

Setelah disepakati oleh pihak kafir Quraisy maka mereka mengutuskan Suhail Bin Amr untuk mewakili Quraisy bagi menulis perjanjian tersebut. Tujuan perjanjian adalah untuk melaksanakan proses genjatan senjata antara kedua-belah pihak.

Para ulama telah berdalilkan perjanjian hudaibiyyah ini di atas keharusan melakukan perjanjian damai di antara muslimin dan kaum musyrikin yang memeranginya sehingga tempoh yang ditetapkan samada dengan pertukaran ataupun tidak.

Sekiranya perdamaian itu memerlukan kepada wang yang dibayar oleh umat Islam maka ianya tidak diharuskan oleh jumhur ulama kerana ianya merendahkan martabat umat Islam melainkan dalam keadaan darurat.

Imam al-Syafie dan Imam Ahmad dan kebanyakan Imam-Imam lain meletakkan syarat bahawa perjanjian ini perlu mempunyai tempoh tamat dan tidak disyaratkan hanya spuluh tahun sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah.

5. Tahaaluf mengikut pandangan fuqaha dahulu dan sekarang

Dalam membincangkan soal tahaaluf para ulama muslimin dari kalangan fuqaha tidak terlepas dalam membincangkan hukum tahaaluf dalam kitab-kitab karangan mereka.

Oleh kerana istilah tahaaluf siasi atau perjanjian politik merupakan istilah baru, maka kita tidak mendapatinya secara khusus dalam perbincangan ulama kerana bentuk sistem politik yang ada pada waktu kini tidak wujud pada zaman dahulu. Tetapi hukum meminta bantuan atau membuat perjanjian daripada golongan musyrik atau bukan muslim yang juga merupakan makna kepada tahaaluf telah dibincangkan secara lumat oleh para ulama yang mana boleh dijadikan panduan kepada kita.

Hukum meinta bantuan daripada bukan Islam boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:

1. Bantuan dalam soal selain peperangan
2. Bantuan dalam soal peperangan iaitu mengangkat senjata

1. Bantuan dalam soal selain peperangan

Apa yang dimaksudkan di sini adalah sebarang bentuk bantuan yang diminta daripada musyrik yang tidak melibatkan soal mengangkat senjata dan pertumpahan darah seperti bantuan dalam bentuk pekerjaan, muamalat, pentadbiran, kajian ilmiah, menegakkan keadilan, membanteras kezaliman dan lain-lain.

Ijma ulama mengatakan bahawa bantuan dalam bentuk ini adalah dibenarkan dan tiada khilaf dikalangan ulama berkaitan keharusannya. Dalil yang dipegang oleh para fuqaha ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Sayyidatina Aisyah R.A:

استأجر النبي وابو بكر رجلا من بني الديل وهو علي دين كفار قريش هاديا

"Rasululah s.a.w dan Abu Bakar mengupah seorang lelaki daripada Bani al-Dil sedangkan dia beragama kafir Quraisy sebagai penunjuk jalan”

Dalil yang kedua ialah khabar yang diriwayatkan oelh Ibnu Ishaq dengan sanad yang sahih dan diriwayatkan juga oleh Imam Ibnu Jarir dan Imam Ibnu Sayyid al-Nas:

وكان قد ذكر لرسول الله أن عند صفوان بن أمية أدراعا وأسلحة فارسل إليه وهو يومئذ مشرك فطلب منه تلك الدروع ولأسلحة فقال صفوان : اغصبا يا محمد؟ قال بل عارية وهى مضمونة حتى نؤديها إليك , فأعطاه مائة درع بما يكفيها من السلاح

"Telah diberitahu kepada Rasulullah s.a.w bahawa Sofwan Bin Umayyah mampunyai baju besi dan senjata maka dia dibawakan kepada baginda yang mana dia ketika itu masih lagi musyrik lalu diminta daripadanya segala baju besi dan senjata tersebut. Sofwab bertanya, "Adakah Kamu ingin merampasnya Wahai Muhammad? Nabi bersabda, "Tidak, tetapi pinjaman dan ianya akan dijamin sehingga kami memulangkan ianya semula kepadamu" lalu dia memberikan seratus baju besi dengan jumlah yang memadai daripada senjata.”
Walaubagaimanapun, terdapat syarat yang perlu dipatuhi iaitu:

1. Tidak melanggar batas syariat Islam.
2. Tidak membawa kepada penghinaan.
3. Tidak memberikan mudarat kepada umat Islam.

Antara perkara yang termasuk dalam bahagian ini:

1. Meminta bantuan persenjataan atau kemahiran peperangan daripada orang kafir tetapi melibatkan mereka dalam peperangan.
2. Bantuan untuk membanteras kezaliman, mencegah kemungkaran yang melibatkan masyarakat secara umumnya tanpa mengira Islam atau bukan Islam seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan menegakkan daulah Islamiyyah serta lain-lain secara lebih Aula (utama)
3. Penggabungan parti politik bukan Islam dan parti Islam secara khusus untuk menegakkan sebuah negara yang menegakkan keadilan sejagat dalam setiap aspek dan menjaga keharmonian kaum dalam negara.
4. Perjanjian politik dengan tujuan membela bukan Islam yang dizalimi secara khususnya walaupun yang menzalimi itu orang Islam itu sendiri dengan cara menasihati, mengambil alih kuasa atau pilihanraya selagi mana tidak menumpahkan darah umat Islam.

2. Hukum meminta bantuan orang kafir dalam peperangan

Ulama berselisih pendapat dalam masalah ini. Secara umumya pandangan mereka terbahagi kepada dua pandangan.

Pandangan pertama

Fuqaha' mazhab Maliki, Hanbali, dan Zohiri berpendapat bahawa tidak harus sama sekali meminta bantuan orang kafir dalam peperangan samada dalam keadaan darurat (sangat berhajat kepada bantuan mereka) atau tidak.

Ini berdasarkan firman Allah s.w.t:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ

73. dan orang-orang Yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan Pembela bagi setengahnya Yang lain. jika kamu (Wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri Yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan Yang besar.(surah al-anfal:73)

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ

28. janganlah orang-orang Yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat Dengan meninggalkan orang-orang Yang beriman. dan sesiapa Yang melakukan (larangan) Yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah Dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya Yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). dan kepada Allah jualah tempat kembali.(surah al-Imran:28)


الَّذِينَ يَتَرَبَّصُونَ بِكُمْ فَإِنْ كَانَ لَكُمْ فَتْحٌ مِنَ اللَّهِ قَالُوا أَلَمْ نَكُنْ مَعَكُمْ وَإِنْ كَانَ لِلْكَافِرِينَ نَصِيبٌ قَالُوا أَلَمْ نَسْتَحْوِذْ عَلَيْكُمْ وَنَمْنَعْكُمْ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

141. (Mereka Yang munafik itu ialah) orang-orang Yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): "Bukankah Kami turut berjuang bersama-sama kamu? (oleh itu Kami juga berhak menerima bahagian dari harta rampasan perang)". dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan Dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang-orang kafir itu): "Bukankah Kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang-orang Yang beriman (dengan mendedahkan rahsia perpaduannya)?" maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang Yang beriman.(al-Nisa:141)

Ia juga berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan daripada saidatina Aisyah bahawa setelah Rasulullah s.a.w dan para sahabat keluar ke medan Badar, seorang lelaki musyrik dating berjumpa Rasulullah dan meminta izin untuk ikut berperang. Para sahabat begitu gembira kerana lelaki tersebut memang terkenal dengan keberanian dan ketangkasan dalam medan perang tetapi ditolak oleh rasulullah dengan sabda baginda:

فارجع فلن أستعين بمشرك

"Pulanglah engkau, kerana aku tidak akan meminta bantuan daripada seorang musyrik"

Lelaki tadi terus memujuk Rasulullah sehingga akhirnya memeluk agama Islam dan dibenarkan menyertai peperangan.

Pendapat kedua

Jumhur fuqaha pula berpendapat bahawa harus mengambil bantuan orang kafir ataun membenarkan mereka untuk menyertai peperangan tetapi mesti menepati syarat berikut:

1. Jumlah tentera Islam sangat sedikit berbanding bilangan musuh dan betul-betul berhajat kepada bantuan.

2. Orang kafir tersebut boleh dipercayai dan tdak diragui kesetian mereka terhadap pimpinan.

3. Bilangan mereka hendaklah lebih sedikit berbanding bilangan tentera Islam supaya mereka dapat diawasi oleh tentera Islam dan dapat dihapuskan dengan mudah sekiranya mereka mengkhianati tentera Islam atau bergabung dengan tentera musuh.

4. Pertolongan mereka handaklah menghapuskan musuh-musuh Islam yang kafir, bukan golongan bughah yang beragama Islam.

Hujjah yang dikemuka jumhur adalah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu abbas bahawa rasululah pernah meminta bantuan yahudi Bani Qainaqa' dabn safwan Bin Umayyah uuntuk menghapuskan puak hawazin semasa perang Hunain. Hadis ini telah memansukhkan hadis Aisyah kerana hadis ini datang selepas darinya. Riwayat lain pula menyatakan bahawa Rasulullah telah meminta bantuan Yahudi dalam peperangan dan memberikan sedikit hadian kepada mereka.

Ibn Qayyim telah menyokong pendapat yang kedua dengan hujjah bahawa Rasulullah pernah meminta bantuan al-Khuzaei yang masih kafir sebagai perisik semasa perjanjian damai hudaibiyyah. Rasulullah melakukan demikian demi maslahah besar iaitu untuk megetahui rahsia atau perancangan musuh.

Para fuqaha juga berselisih pendapat dalam masalah memerangi bughah (pemberontak yang keluar daripada pemerintah Islam dan memeranginya). Al-Imam Syafie tidak mengharuskan umat Islam meminta bantuan daripada orang kafir samada kafir harbi atau zimmi untuk memerangi mereka. Para ulama mazhab hanafi pula mengharuskan perkara tersebut samada dengan kafir harbi ataupun zimmi atau dengan golongan bughah itu sendiri untuk memerangi bughah yang lain.

Begitu juga dalam masalah memerangi kafir harbi atau zimmi, dibenarkan untuk memerangi mereka dengan meminta bantuan orang seperti mereka (kafir harbi atau zimmi) lebih-lebih lagi dalam masalah darurat. Ibnu Hazm berpendapat bahwa ia dibenarkan tetapi lebih utama untuk bersabar sehingga Allah memberikan kemenangan atau syahid. Perkara tersebut adalah berdasarkan hadis:

إن الله ليؤيد هذا الدين بالرجل الفاجر

"Sesungguhnya Allah s.w.t akan membantu agama ini (Islam) dengan lelaki yang tidak beriman"(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tahaaluf yang diharamkan

Bentuk tahaaluf yang diharam oleh syara pula adalah:


1. Yang membenarkan musuh menghancurkan umat Islam
2. Yang bertujuan untuk menerima dan memberikan kekuatan kepada idealogi yang bertentangan dengan Islam demi mendapat kekuasaan seperti sekularisma dan sebagainya.
3. Melemahkan saf dan barisan umat Islam.

6. Kesimpulan

Persoalan tahaluf siasi adalah satu persoalan yang kurang difahami oleh ramai pihak dan berhajat kepada ijtihad yang sesuai untuk dilaksanakan mengikut zaman dan tempat. Para ulama terdahulu telah berusaha sedaya upaya berijtihad untyk menyelasaikan persoalan ini. Diharap agar ramai lagi ilmuan dan ulama tanah air bangkit mengkaji dan menelitinya agar segala masalah berkaitan politik dan kenegaraan dapat diselesaikan mengikut neraca syara'. Wallahu A'alam.

Disediakan oleh
Khairul Anuar Bin Ismail
Pengerusi Felo Manhal PMRAM 2010.

Rujukan:

1. Al-Quran
2. Kitab hadis muktabar
3. Fiqh Sirah, Dr. Muhammad Said Ramadan Al-Bouti
4. Al-tahaaluf Al-Siasi Fil Islam, Syeikh Munir Ghadban
5. Negara Islam: Hak dan Tanggungjawab Ahli Zimmah, Nik Azran Muhammad
6. Al-Wasith fi Fiqh al-Qadha' Wal Jihad, Dr. Nasir Ahmad Ibrahim Al-Nasyawi.
7. Al-Wala' Wal Barra fil Islam, Dr.Muhammad Bin Said Al-Qahthoni



1 comment:

  1. Salam..saya mohon untuk mengambil penjelasan ustaz ini kerana ianya cukup bermanfaat.

    ReplyDelete