MUQADDIMAH
Dalam konteks suasana politik masa kini, soal tahaaluf siasi atapun perjanjian politik merupakan satu perkara penting dan perlu untuk difahami oleh seluruh pekerja–pekerja Islam supaya segala gerak kerja dapat dijalankan dengan sempurna.
Kertas kerja ini merupakan satu ringkasan penting untuk dihadam oleh kita semua yang diambil daripada kitab-kitab muktabar yang ditulis oleh para ulama Islam. Penulis tidak membentangkan secara terperinci setiap perkara yang melibatkan soal ini samada dari segi dalil, sejarah dan lain-lain kerana tujuan kertas kerja ini adalah untuk memberi satu gambaran umum mengenai tahaaluf siasi dan sekiranya pembaca berminat untuk mengkaji secara lebih dalam maka bolehlah merujuk sendiri di dalam kitab-kitab yang menjadi sandaran penulis.
Penulis membahagikan perbahasan tahaaluf siasi kepada beberapa bab supaya ianya dapat difahami secara lebih jelas. Bab-bab tersebut seperti berikut :
1. Takrif
2. Sejarah tahaaluf sebelum zaman kenabian
3. Bentuk tahaaluf selepas zaman kenabian.
4. Tahalluf mengikut pandangan para fuqaha'
5. Kesimpulan
Penulis mengharapkan lebih ramai lagi pengkaji dan para ulama yang tampil untuk membincangkan soal ini serta menambahbaik segala apa yang terdapat dalam kertas kerja ini supaya dapat dipersembahkan kepada masyarakat dalam keadaan lebih sempurna.
Semoga amal yang sedikit ini dapat menyumbang kepada kejayaan Islam pada masa akan datang dan pada masa yang sama objektif tahaaluf siasi dan manhajnya dapat dilaksanakan dengan baik mengikut neraca syara' disamping dapat melahirkan para pekerja Islam yang mempunyai kefahaman Islam yang sahih.
1. TAKRIF TAHALLUF.
Pertama: Sudut Bahasa
Tahalluf dari segi bahasa Arab adalah berasal daripada perkataan al-hilfu (الحلف) dan ia terbina daripada huruf ha', lam, fa' dengan huruf ha' berbaris bawah dan yang bermaksud satu perjanjian. Di dalam kamus al-sihah fi al-lughah, Imam al-Jauhari menyatakan :
والحِلْفُ بالكسر: العهدُ يكون بين القوم، وقد حالَفَهُ، أي عاهده. وتَحالَفوا، أي تَعاهدوا. وفي الحديث أنّه صلى الله عليه وسلم حالَفَ قريش والأنصار، يعني آخَى بينهم؛ لأنَّه لا حِلْفَ في الإسلام
"al-hifu dengan baris bawah adalah satu perjanjian antara kelompok/kumpulan dan apabila bertahaaluf dengan seseorang maka bermaksud dia berjanji dengannya. Dan maksud saling bertahaaluf adalah saling berjanji. Di dalam hadis diriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w bertahaaluf dengan kaum Quraisy dan Ansar iaitu Rasul telah mengikatkan janji persaudaraan antara mereka kerana tiada lagi ikatan perjanjian (atas dasar kejahatan) dalam Islam".
Kedua: Sudut Syara'
Tahaaluf dari segi syara' tidak jauh bezanya dari segi bahasa. Ibnu Athir ( 630 H) menyebut di dalam al-Nihayah fi Gharib al-Hadith:
وفي حديث آخر [ لا حِلْفَ في الإسلام ] أصل الحِلْف : المُعاقَدةُ والمعاهدة على التَّعاضُد والتَّساعُد والاتّفاق فما كان منه في الجاهلية على الفِتَن والقتال بين القبائل والغاراتِ فذلك الذي ورد النَّهْي عنه في الإسلام بقوله صلى اللّه عليه وسلم [ لا حِلْفَ في الإسلام ] وما كان منه في الجاهلية على نَصْر المَظْلوم وصلة الأرحام كحلْف المُطَيَّبين وما جرى مَجْراه فذلك الذي قال فيه صلى اللّه عليه وسلم [ وأَيُّمَا حِلفٍ كان في الجاهلية لم يَزِدْه الإسلام إلا شدة ] يريد من المُعاقدة على الخير ونُصْرَة الحق وبذلك يجتمع الحديثان وهذا هو الحِلْف الذي يَقْتَضِيه الإسلام والمَمْنُوع منه ما خالف حُكْم الإسلام
"Dan di dalam hadis yang lain (tiada lagi al-hilf yakni perjanjian dalam Islam). Asal al-hilf adalah saling ikat setia dan berjanji untuk saling membantu dan tolong-menolong. Maka apa yang dilakukan pada zaman jahiliyyah untuk tujuan fitnah dan permusuhan antara qabilah-qabilah dan juga peperangan maka itulah yang telah disebut larangannya dalam Islam dengan sabda Nabi (tiada lagi al-hilf yakni perjanjian dalam Islam)manakala apa yang dilakukan pada zaman jahiliyah untuk tujuan menolong orang yang dizalimi dan mengeratkan silaturrahim seperti perjanjian al-mutayyibin dan yang seumpama dengannya maka telah disebut oleh Nabi (mana-mana perjanjian yang dilakukan pada zaman jahiliyyah tidak akan bertambah di dalam Islam melainkan ianya semakin ketat) yang mana dimaksudkan perjanjian di atas dasar kebaikan dan memperjuangkan kebenaran. Dengan afsiran tersebut maka terhimpunlah kedua-dua hadis tersebut. Dengan ini jelaslah perjanjian yang dikehendaki Islam dan yang dilarang oleh Islam kerana bercanggah dengan hukum Islam".
Selain apa yang telah disebut diatas, banyak lagi hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para ulama' antaranya hadis yang diriwayatkat oleh Imam Bukhari dalam Sahihnya (bab al-ikha'wal hilf), Imam Tirmizi dalam Sunannya (KItab al-Sair) Imam Ahmad dalam Musnadnya (1/323) dan lain-lain. Hasil yang boleh diperolehi daripada hadis tersebut adalah:
a. Larangan bertahaaluf adalah sekiranya berdasarkan kebatilan seperti yang telah disebut oleh ibnu Athir di atas.
b. Islam menyeru kepada menunaikan setiap perjanjian dan tahaaluf yang dilakukan pada zaman jahiliyyah yang berdasarkan kebaikan dan kebenaran. Imam Nawawi berkata: Adapun setiap tahaaluf yang berdasarkan ketaatan kepada Allah, menolong orang yang dizalimi dan persaudaraan di jalan Allah maka perkara tersebut amat digalakkan.
c. Hadis yang melarang untuk bertahaaluf adalah bermaksud sekiranya keadaan umat Islam dalam keadaan yang kuat dan setelah mendapat kuasa. Sekiranya dalam keadaan lemah, umat Islam sedikit dan musuh menguasai keadaan sehingga meghalang kebangkitan Islam dan melakukan kezaliman, maka tahaaluf dibenarkan. Ini dapat diambil dari tindakan Nabi melarang tahaaluf selepas daripada pembukaan kota Mekah dan Islam mendapat kekuasaan sepenuhnya.
2. TAHAALUF SEBELUM ZAMAN KENABIAN
Sekiranya kita kembali kepada kitab-kitab sirah nabawiyyah kita akan menemui dua bentuk tahaaluf yang masyhur iaitu Hilf al-Mutayyibin dan Hilf al-Fudhul.
Pertama: Hilf al-Mutayyibin
Al-Mutayyibin adalah terdiri daripada lima Qabilah Arab iaitu Qabilah Abd Manaf, Qabilah Zuhrah, Qabilah Asab Bin Abdul Uzza, Qabilah Taim dan Qabilah Al-Harith Bin Fahr.
Mereka telah melakukan satu perjanjian yang mana telah disifatkan oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai satu perjanjian yang baik sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad (No. 1567):
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ شَهِدْتُ حِلْفَ الْمُطَيَّبِينَ مَعَ عُمُومَتِي وَأَنَا غُلَامٌ فَمَا أُحِبُّ أَنَّ لِي حُمْرَ النَّعَمِ وَأَنِّي أَنْكُثُهُ
"Aku telah menyaksikan perjanjian (tahaaluf) al-Mutayyibin bersama bapa-bapa saudaraku ketika aku masih kecil dan tidaklah aku mahu memungkirinyai walaupun aku diberikan unta berwarna merah (yang paling bagus)".
Perjanjian ini dinamakan dengan hilf al-Mutayyibin kerana apabila Qabilah Abd Manaf setelah mana ingin mengambil hak penjagaan Kaabah daripada Qabilah Ibnu Abd Daar sedangkan mereka tidak mahu melakukannya, setiap qabilah melakukan perjanjian untuk tidak melakukan persengketaan. Kemudiannya Bani Abd Manaf mengambil bekas berisi wangian lalu mereka memasukkan tangan mereka kedalamnya lalu meyapunya ke Kaabah sebagai tanda perjanjian. Sebab itulah dinamakan al-Mutayyibin bersempena dengan perbuatan memakai minyak wangi tersebut.
Kedua : Hilful Fudhul
Perjanjian ini dilakukan adalah bertujuan untuk menghentikan sebarang bentuk kezaliman yang berlaku di bumi Mekah sama ada kepada mereka yang merupakan penduduk asal Mekah atau dari luar bumi Mekah.
Perjanjian ini dilakukan oleh Bani Hasyim, Bani Mutallib, Qabilah Asad, Qabilah Zuhrah dan Qabilah Taim dan di meterai di rumah Abdullah Bin Jud'an kerana kemuliannya serta merupakan orang yang paling tua. Rasulullah s.a.w menyifatkan hilful Fudhul dengan sabda beliau yang diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq secara mursal daripada Tolhah bin Abdullah bin Auf :
لقد شهدت في دار ابن جدعان حلفا ما أحب أن لي حمر النعم, ولو أدعى في الإسلام لأجبت
”Aku telah menyaksikan satu perjanjian di rumah Abdullah Ibnu Jud'an satu perjanjian yang mana ianya lebih disukai diriku daripada aku memiliki unta berwarna merah, sekiranya aku dijemput untuk mengadakannya di dalam Islam nescaya aku akan menerimanya".
3. TAHAALUF SELEPAS KENABIAN
Pertama : Perjanjian Rasulullah s.a.w Dengan Abi Tholib
Peringkat pertama:
Setelah mana turunnya ayat al-Quran (surah al-Syu'araa, ayat 214) yang berbunyi:
وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ
214. dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu Yang dekat.
Rasulullah s.a.w mula menyeru Bani Hasyim kepada Islam akan tetapi dihalang oleh Abu Lahab. Dia mengancam untuk menangkap Rasulullah s.a.w tetapi Abu Tholib bertegas akan melindungi Rasulullah daripada sebarang kekerasan yang akan dilakukan terhadap baginda.
Peringkat kedua:
Ketika kafir Quraisy menemui Abi Tolib dan meminta supaya dia berhenti daripada melindungi anak saudaranya itu dan mereka mula mengancam untuk memerangi Abi Tholib sendiri sekiranya berterusan dalam memberikan perlindungan kepada Rasulullah s.a.w.
Abu Tholib mula merasa tidak senang dengan ancaman tersebut lalu bertemu dengan Rasulullah dan menyatakan hasratnya supaya Rasulullah tidak lagi menyampaikan dakwah baginda kepada manusia. Walau bagaimanpun Rasulullah menjawab dengan sabda baginda :
يا عم! والله؛ لو وضعوا الشمس في يميني، والقمر في يساري، على أن أترك هذا الأمر، حتى يظهره الله، أو أهلك فيه؛ ما تركته
Maksudnya: "Wahai bapa saudaraku, Demi Allah sekalipun mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku boleh meninggalkan urusan ini sehingga Allah menzahirkannya atau aku sendiri binasa kerananya, nescaya aku tidak akan meninggalkannya" (Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam Dalail nubuwwah dan Ibnu Ishaq)
Kemudian Rasulullah bangun dan berpaling daripadanya. Apabila Abu Tholib mendengar ucapan tersebut beliau berkata: "Wahai anak saudaraku, berpalinglah ke arahku (lalu Rasulullah berpaling ke arahnya) Pergilah dan beritahulah apa yang kamu sukai. Demi Allah! Aku tidak akan menyerahkan kamu kepada sesiapapun selama-lamanya."
Peringkat ketiga:
Ketika mana Bani Hasyim dan Bani Muttholib berganding bahu dalam mempertahankan Rasulullah s.a.w dan melindungi beliau ketika mana pihak kafir Quraisy mendisytiharkan bahawa mereka akan membunuh Rasulullah s.a.w. Pihak kafir quraisy juga menawarkan kepada Abu Tholib pemuda dikalangan mereka untuk dijaga oleh beliau sebagai ganti kerana menyerahkan Rasulullah kepada mereka tetapi Abu Tholib membalas tawaran itu dengan sindiran keras, " Adakan kamu mahu aku memberi makan anakmu dan aku memberikan anakku kepadamu supaya dibuhnuh?!"
Peringkat Keempat:
Ketika mana kafir Quraisy melihat Bani Hasyim dan Bani Muttholib sama ada yang Islam atau yang belum memeluk Islam bertahaaluf untuk melindungi baginda, mereka telah berhimpun dan berpakat untuk menulis satu memorandum atau dokumen bahawa mereka tidak akan bernikahkan dengan sesiapapun dikalangan mereka atau melakukan jual beli dengan mereka dan tidak akan menerima perdamaian sama sekali dengan mereka atau dengan kata lain, akan membikot mereka sehabis-habisnya. Dokumen tersebut diletakkan di dalam Kaabah.
Dengan kuasa Allah, rancangan untuk membikot ini tidak berhasil. Bani Hasyim dan Bani Muttholib kecuali Abu Lahab mencari tempat perlindungi di kawasan celah-celah bukit untuk berlindung bersama-sama Rasulullah s.a.w selama dua hingga tiga tahun dan mereka mengalami kesusahan yang berat sehingga mereka menjadikan daun-daun kayu sebagi makanan sebagaimana yang disebut dalam kitab-kitab sirah.
Walau bagaimanapun, lama-kelamaan beberapa individu dari pembesar Quraisy bangkit membantah perkara tersebut dan meminta supaya mereka menhentikan perbuatan tersebut. Antaranya ialah Hisyam bin Amr, Zuhair Bin Umayyah, Muth'im Bin 'Adiyy dan lain-lain. Lalu Muth'im mengoyak dokumen tersebut dan kelihatan bahwa dokumen itu telah pun dimakan anai-anai kecuali nama Allah. Perkara tersebut sebenarnya telah pun dikhabarkan oleh baginda kepada Abi Tholib.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment