Sunday, January 17, 2010

Kenyataan Rasmi MANHAL PMRAM tentang isu penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh non-Muslim

Merujuk kepada isu penggunaan kalimah Allah bagi non muslim di Malaysia, Markaz Pengumpulan Kajian & Hasilan Penyelidikan PMRAM (MANHAL) mengutarakan pandangan para ulama' berkenaan isu tersebut dan syor dari MANHAL.

1.Secara umum, para ulama telah terbahagi kepada dua pandangan.

• Pandangan pertama: Membenarkan non muslim menggunakan kalimah Allah. Pandangan ini bersandarkan dengan firman Allah di dalam surah Luqman ayat 25 yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad) Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka itu. Bahkan kebanyaakn dari mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)”

Firman Allah dalam surah al-Mu’minun ayat 86-87 yang bermaksud:

“Tanyakanlah lagi siapakah yang memiliki dan mentadbir langit yang tujuh dan tuhan yang mempunyai arasyh yang besar? (86) Mereka akan menjawab (semuanya) kepunyaan Allah. Katakanlah (wahai Muhammad) mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?” (87)

“Para ulama empat mazhab menyatakan dalam masalah sumpah bahawa non muslim hendaklah bersumpah dengan nama Allah.” (Dr. Wahbah Zuhaili, al-Feqh al-Islami Wa Adillatuhu 8/136)


• Pandangan kedua: Tidak membenarkan non muslim menggunakan kalimah Allah berdasarkan hujah-hujah berikut;

Nama Allah mungkin digunakan sebagai nama khas untuk makhluk sedangkan ijmak ulamak tidak mengharuskannya sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Qarafi. (rujuk Al-Furuq 3/111, Mawahib al-Jalil 3/279)

Apabila mengizinkan non muslim menggunakan kalimah Allah, ini bakal mendedahkan nama Allah kepada penghinaan apabila disifatkan dengan pelbagai sifat yang menyalahi akidah muslim. Masalah ini didapati dari apa yang dibahaskan oleh Ulama' mazhab Syafei bahawa haram kepada seorang muslim menulis nama Allah dalam fatwa kepada ahli zimmah (non muslim) kerana ia boleh menghina nama Allah SWT.

“Dapat diambil iktibar darinya (mendedahkan mashaf kepada kehinaan sekiranya dimiliki orang kafir) adalah lebih utama mengharamkan muslim menulis Lafaz Jalalah (kalimah Allah) pada soalan dan jawapan apabila diminta fatwa oleh kafir zimmi.” (Hasyiah al-Bujairimi ‘Ala al-Khatib 3/314, Hasyiah al-Syarwani ‘Ala Tuhfah Al-Muhtaj 4/230)

2. Secara asasnya, pihak MANHAL bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah digunakan oleh non muslim.

3. Namun melihat kepada realiti dan sensitiviti umat islam di Malaysia, MANHAL mencadangkan agar kerajaan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada non muslim secara bertulis atas dasar menutup implikasi buruk yang mendatang. Mengutamakan mudarat umum lebih utama daripada melihat maslahat pihak tertentu sebagaimana ditegaskan oleh Imam Syatibi dan juga Imam Ghazali.

"Sekiranya dapat dibaiki kemudaratan dan dapat dihilangkan sekaligus maka lebih utama diambil kira kemudaratan umum tersebut (daripada maslahat khusus), Jadi dihalang orang atau pihak tertentu dari mendapat maslahatnya. Ini kerana maslahat yang umum perlu diutamakan daripada maslahat khusus" (Al-Muwafaqat 2/348)
"Dan sangkaan yang menghampiri martabat yakin apabila bersifat umum dan amat besar bahaya padanya (sekiranya tidak diraikan) maka dipandang kecil individu-individu tertentu seandainya dibandingkan dengannya" (Al-Mustasfa 1/424)

4.Sekiranya kerajaan bercadang untuk membenarkan non muslim mengguanakan kalimah Allah, maka syarat-syarat yang ketat mestilah dikenakan demi memastikan perkara-perkara di atas tidak berlaku. Hukuman yang berat juga mesti dikenakan kepada pihak yang menyalahgunakan kebenaran tersebut. Ini demi memastikan kesucian nama Allah terpelihara dari sifatnya yang Maha Esa.

No comments:

Post a Comment