Saturday, January 23, 2010


APABILA NON MUSLIM INGINKAN HUKUM ISLAM DILAKSANAKAN

Saya amat tertarik dengan isi khutbah jumaat yang telah disampaikan oleh Prof. Dr. Mu'thi Bayumi pada hari ini (22/1/2010) di Masjid yang dikenali dikalangan rakan-rakan dengan Masjid Tantowi (kerana Syeikh al-Azhar sekarang, Prof. Dr. Muhammad Sayyed al-Tantawi pernah menjadi khatib di situ setahu saya). Saya sering kali mendirikan solat jumaat di situ kerana ianya berdekatan dengan rumah saya (di Hayyu Zohor berdekatan Hospital Zahra'). Rumah Prof. Mu'ti Bayumi juga berdekatan dengan masjid tersebut. Saya juga sering melihat al-Allamah al-Muhaddith Prof.Dr. Rifa'at Fauzi mengerjakan solat jumaat di situ.
Beliau yang juga merupakan anggota Majma' Buhuth (Akademi Penyelidikan) Al-Azhar telah mengulas tajuk keamanan yang diberikan oleh Islam kepada bukan Islam sekiranya mereka berada dalam negara Islam. Kata beliau, "Islam bukanlah agama kekerasan, kezaliman dan penindasan bahkan Islam adalah agama keamanan untuk seluruh penduduk dunia". Beliau berkata lagi, "Sejarah telah mencatatkan bahawa Islam telah bersama dengan masyarakat yang pelbagai, bukan hanya masyarakat Kristian, bahkan juga bersama masyarakat penyembah berhala, penyembah bintang, bulan dan banyak lagi. Semuanya telah mendapat keamanan apabila hukum Islam ditegakkan dalam negara."

Beliau menjelaskan apabila masyarakat bukan Islam dapat memahami risalah Islam itu sendiri tidak mustahil mereka sendiri yang akan menuntut supaya hukum Islam ditegakkan kerana yakin dengan keamanan yang dapat diperolehi dengannya.

Perkara tersebut dinyatakan berdasarkan pengalaman beliau sendiri apabila menjadi utusan ulama Azhar untuk menyampaikan satu ceramah berkaitan perlaksanaan Islam dan kedamaian yang dapat dicapai melalui perlaksanaannya di satu majlis yang dianjurkan oleh Parti Wafd (salah satu parti utama di Mesir) dimana terdapat anggota parti tersebut yang beragama Kristian. Kebetulan juga ada dikalangan penganut agama Kristian tersebut yang menghafal al-Quran( ini adalah satu kebiasaan di Mesir, bahkan ada yang menghafal al-Quran sejak kecil lagi, bila beliau sebut hal itu saya merasa begitu malu kerana saya yang muslim ini pun belum hafal al-Quran sepenuhnya). Setelah selesai daripada ceramah tersebut, lantas bangun salah seorang hadirin dari penganut agama Kristian tadi menyatakan, " Sekiranya inilah Islam yang sebenar, maka kamilah orang yang pertama menuntut supaya undang-undang Islam dilaksanakan!"

Nah! Lihat betapa Islam mampu untuk difahami dan dihayati oleh bukan Islam sendiri. Tak timbul masyarakat majmuk atau tidak. Islam adalah untuk semua bermula dari sekecil-perkara sehinggalah pemerintahan negara. Islam agama yamg mudah bukan menyusahkan orang.

Seterusnya beliau meneruskan bicara, "Apa yang menyedihkan kita ialah mereka yang takut akan undang-undang Islam, menghalang usaha memberikan kefahaman Islam yang sebenarnya kepada masyarakat bukan Islam, bahkan menghalang perlaksanaan undang-undang Islam dalam negara adalah orang Islam itu sendiri! Mereka adalah terdiri daripada masyarakat golongan sekularisma Mesir yang berotakkan barat!" (beliau khususkan orang Mesir dalam khutbahnya itu).

Dalam khutbah tersebut beliau menceritakan bahawa masyarakat bukan Islam tidak akan takut terhadap Islam sekiranya mereka boleh memahami hakikat dan realiti Islam sebagaimana yang berlaku kepada seorang peguam Kristian yang terkenal ketika dahulu di Mesir iaitu Makram 'Abiid (sehingga sebuah jalan di Madinah Nasr dinamakan dengan nama beliau). Makram Abiid ialah seorang peguam kristian yang menghafal 30 juzuk al-Quran.
Beliau menceritakan bahawa pernah satu ketika dalam perbicaraan mahkamah paguam tersebut telah mewakili anak guamannya yang merupakan seorang muslim. Dalam perbicaraan tersebut beliau telah berhujjah menggunakan al-Quran untuk mempertahankan hak anak guamannya. Walau bagaimanapun, si hakim cuba untuk menolak hujjah tersebut dengan berkata, "Bagaimana kamu boleh berhujjah dengan al-Quran sedangkan kamu sendiri tidak beriman dengannya?" Lalu beliau dengan pantas menjawab, "Walaupun saya tidak beriman dengannya, tetapi saya mewakili orang yang beriman dengannya!" (iaitu saya ingin mewakili hujjahnya. Sekiranya dia berada di tempat saya nescaya dia juga akan menggunakan ayat kerana al-Quran itu sendiri adalah hujjah).

Begitulah apa yang dinyatakan oleh al-Fadhil Dr. Mu'ti Bayumi dalam khutbah beliau. Apa yang dinyatakan olehnya itu sebenar merupakan realiti yang berlaku di Malaysia sekarang. Kita boleh melihat bahawa mereka yang ingin bersama Islam adalah dikalangan bukan beragama Islam. Dalam masa yang sama, ada orang Islam yang jahil bermati-matian menghalang Islam dari difahami oleh bukan Islam dan sengaja mencetuskan sensitiviti perkauman serta agama (macam kes kepala lembu, isu gereja, penggunaan kalimah Allah dan sebagainya).

Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas tadi, kita mengharapkan selepas ini lebih banyak lagi suara bukan Islam menggunakan Islam dan al-Quran sebagai hujjah sama ada di pentas ceramah, parlimen, dewan rakyat, media massa dan lain-lain supaya Islam lebih terbuka untuk dikaji dan lebih difahami oleh mereka sendiri dan membuka mata pihak yang tidak mahukan Islam. Selain itu usaha untuk memberikan kefahaman Islam kepada bukan Islam seperti seminar hudud yang dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan contohnya dan dialog antara Islam dan bukan Islam sememangnya perlu diperbanyakkan dan wajib dilaksanakan. Para ulama berkata, "Allah adalah tuhan untuk semua makhluk. Maka Islam yang diturunkan oleh Allah untuk manusia layak untuk dipakai oleh semua manusia kerana Allah pencipta mereka."

Saya mengharapkan rakan-rakan yang mengaji di Azhar lebih banyak mengkaji, mengaji, bertallaqi dan membaca buku-buku supaya dapat membantu usaha ini. Tinggalkan filem korea dan siri-sirinya, perbualan kosong dan topik-topiknya, tidur yang banyak dan 'saratoga'nya, chatting dan 'game'nya agar kejayaan kita nanti menjadi kebanggaan kepada Islam dan al-Azhar.
p/s : Kalau boleh jangan tamatkan permusafiran ini melainkan setelah bergelar al-allamah..amiin.

No comments:

Post a Comment