Saturday, October 1, 2011

Hudud 'tidak berperlembagaan' tidak tepat


Muhamad Nadzri Mohamed Noor

Berkenaan dengan cadangan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu, Lim Chee Wee, Presiden Majlis Peguam Malaysia dan badan itu telah mengeluarkan beberapa hujah bahawa inisiatif itu adalah “tidak berperlembagaan”. Secara umumnya terdapat tiga isu perundangan yang beliau bangkitkan bagi melandaskan pandangan beliau. Hujahan-hujahan beliau dan badan itu yang dipetik oleh Malaysiakini (http://www.malaysiakini.com/news/177325) adalah seperti berikut:

Pertama, berbanding negeri, undang-undang jenayah adalah dibawah bidangkuasa persekutuan, untuk itu hukum hudud tidak boleh boleh dilaksanakan oleh negeri. Menurut Lim “undang-undang tidak membenarkan perlaksanaan hudud oleh negeri”, undang-undang yang digubal oleh negeri pula “tidak boleh memasukkan perkara yang berada dibawah kuasa perundangan kerajaan persekutuan”. Kerajaan negeri, menurutnya lagi, hanya boleh menggubal undang-undang yang berkaitan dengan “kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penganut agama Islam, yang bercanggah dengan ajaran Islam, dan hukuman ke atas kesalahan-kesalahan itu.” Penggubalan undang-undang ke atas kesalahan-kesalahan itu pula, hujahnya, mestilah tidak melibatkan kesalahan yang telah digubal oleh persekutuan, dan tidak boleh wujud sebarang pertindihan dengan undang-undang persekutuan, dengan hukuman yang berbeza terhadap penganut agama Islam.

Kedua, beliau berpendapat, “undang-undang jika digubal haruslah selaras dengan kebebasan asasi yang telah dijamin ke atas rakyat , termasuk Muslim, dibawah Bahagian 2 Perlembagaan Persekutuan”. “Hudud yang secara asasnya satu undang-undang jenayah,yang terletak dibawah kuasa Parlimen, dan perlaksanaannya akan menyebabkan perbezaan perundangan kepada Muslim dan bukan Muslim dan ini bercanggah dengan Perkara 8 (Layanan) Sama Rata Perlembagaan Persekutuan.” Justeru katanya “seseorang Muslim boleh menerima dua pendakwaan atau sabitan (atas satu kesalahan), satu hudud dan satu lagi kanun jenayah, ini bertentangan dengan tegahan pengulangan perbicaraan (atas pertuduhan yang sama) yang termaktub dalam Perkara (7) Perlembagaan Persekutuan”.

Ketiga, dengan merujuk kes Che Omar Bin Che Soh lwn. Pendakwaraya [1988] di mana Mahkamah Agung memutuskan bahawa undang-undang Malaysia tidak perlu akur kepada undang-undang Islam, jesteru menurut Lim ini “mengesahkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular.” Berdasarkan prinsip ini, jika hudud dibawa ke sistem keadilan jenayah, ia akan mengakibatkan kemasukkan undang-undang jenayah Islam ke dalam undang-undang yang sekular, dan ini adalah salah dalam undang-undang.

Hujahan-hujahan beliau,meskipun sebahagiannya mungkin ada kebenaran, namun telah ditinjau dari paradigma perundangan yang agak terhad dan statik. Beliau secara dasarnya memberi hujah berdasarkan apa yang tertulis di dalam perlembagaan secara kasar, tetapi tidak berdasarkan apa yang tersirat di dalamnya. Yakni beliau berhujah atas landasan teori, sedangkan amalannya, di dunia sebenar adalah berbeza. Dinamism sejarah perundangan negara, sejak sebelum zaman penjajahan, zaman penjajahan dan selepas itu juga tidak ditelusuri.

Isu ketiga yang dibangkitkan beliau, “Malaysia adalah sebuah negara sekular” sebenarnya adalah pemahaman dan paradigm beliau yang paling asas terhadap sistem perundangan Malaysia. Disebabkan paradigma/andaian asas beliau tidak tepat, maka ia mempengaruhi ketepatan hujahan-hujahan yang telah dilontarkan melalui paradigma itu. Sistem perundangan Islam, yang telah wujud di negeri-negeri Melayu sebelum zaman penjajahan, diakui mengalami gugatan besar semasa zaman penjajahan. Namun, penjajahan British umpamanya, tidak pula menghapuskan perundangan Islam sama sekali, tetapi mengecilkan skop perundangan itu. Walau bagaimanapun, secara umumnya perundangan Islam, diiktiraf dan diputuskan sendiri oleh hakim-hakim British sebagai salah satu cabang dalam sistem perundangan British di Malaya. Sama seperti sistem pemerintahan beraja (juga dengan kuasa yang lebih terhad) yang dikekalkan sewaktu dan selepas penjajahan British, perundangan Islam juga kekal dalam penwujudan negara baru, iaitu Tanah Melayu pada 1957 atau Malaysia pada1963. Yakni di zaman British, bukan sahaja wujud dua sistem perundangan, Islam dan sekular, tetapi juga dua pentadbiran, pentadbiran beraja yang asasnya khususnya kepada Melayu dan pentabiran British kepada bukan Melayu dan Melayu. Meskipun pentadbiran politik telah diintegrasi setelah merdeka, tetapi sifat dwi-perundangan di zaman British dikekalkan sehingga kini. Kedudukan Mahkamah Syariah diiktiraf dan dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan, meskipun dengan skop yang terhad. Berdasarkan perlembagaan negeri-negeri pula, Jabatan Agama Islam ditubuhkan bagi mentadbir dan melaksana beberapa cabang dalam perundangan Islam, termasuk jenayah Islam seperti khalwat, zina, minum arak dan berjudi. Malah dalam kesalahan-kesalahan ini, kerajaan persekutuan menyediakan pasukan polis bagi membantu Jabatan Agama Islam menjalankan fungsinya. Justeru itu, negara Malaysia dan perundangannya tidaklah sepenuhnya sekular, tidak juga sepenuhnya Islam. Ia adalah satu sistem hybrid/campuran yang mengintegrasi undang-undang Islam dan sekular dalam unit politik yang sama. Inilah yang berlaku di zaman British, dan ini juga yang diamal sehingga kini.

Inilah sifat umum undang-undang dan perlembagaan Malaysia, ia adalah dinamik. Skopnya boleh dikecilkan atau diperluaskan menurut autoriti semasa. Meskipun hukum syarak dan hudud itu wajib dilaksanakan oleh penganut Islam, namun jika disekat oleh penguasa, sebagaimana di zaman British, maka sebahagian besar perlaksanaannya terhalang.

Begitu juga prinsip ketertinggian perlembagaan yang menjadi pegangan asas Lim. Prinsip ini meskipun ada kebenarannya dan ditulis dalam Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan, tetapi lebih kepada teori semata-mata. Secara praktiknya, ketertingian perlembagaan ditenggelami oleh kuasa Parlimen. Ini berikutan Parlimen mempunyai kuasa untuk mengehad pemakaian perlembagaan antaranya dengan perlaksanaan akta-akta tertentu (seperti ISA,OSA, Akta Polis). Parlimen juga mempunyai kuasa untuk meminda atau menghapuskan (jika perlu) pelbagai peruntukkan dalam perlembagaan. Untuk itu, kuasa dan sifat perlembagaan Malaysia dan negeri-negeri di dalamnya, tidaklah mutlak dan stattik, ia boleh diubah bagi disesuaikan dengan aspirasi rakyat melalui kerajaan yang dipilih mereka.

Oleh yang demikian, keputusan Mahkamah Agung pada 1998 bahawa “undang-undang Malaysia tidak perlu akur kepada undang-undang Islam” tidak semestinya bermaksud Malaysia adalah sekular. Jika benar negara Malaysia ini sekular, mengapa ada Jabatan Agama Islam untuk mentadbir dan melaksanakan pentadbiran dan undang-undang Islam? Mengapa pula ada Mahkamah Syariah bagi mentadbir sistem keadilannya? Mengapa juga berkhalwat, berzina, minum arak dan berjudi menjadi kesalahan bagi orang Islam dan dikenakan tindakan oleh penguasa? Justeru hujahan kehakiman yang dilontarkan oleh hakim dalam Mahkamah Agung 1988 jika dijadikan alasan untuk menyatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular adalah sesuatu tidak tepat. Bukan sekadarnya bercanggah dari apa yang diamalkan, tetapi boleh menjadikan apa yang diamalkan itu pula yang menjadi kesalahan. Hal ini perlu diperbetulkan dan keputusan mahkamah itu adalah terbuka kepada pelbagai tanggapan. Untuk itu kemasukkan undang-undang jenayah Islam dalam undang jenayah sekular juga tidak menjadi satu yang salah, kerana sebagaimana yang telah dihujahkan, negara ini tidak pernah sepenuhnya sekular, dan undang-undang Islam telah dipraktikkan bersama-sama undang-undang sekular sejak sekian lama. Perlaksanaan hudud di Kelantan bukan sahaja membesarkan skop undang-undang Islam di negeri itu, tetapi memberikan kembali hak kepada Kelantan untuk melaksanakan hudud ke atas penganut beragama Islam yang telah dinafikan sejak penjajahan British.

Dalam menjawab isu pertama pula berkenaan undang-undang jenayah adalah dibawah kuasa persekutuan dan kerana itu hudud tidak boleh dilaksanakan oleh negeri juga adalah sesuatu yang agak kabur. Zina, khalwat dan minum arak adalah jenayah besar dalam agama Islam. Dan ia dan pelbagai lagi yang lain seperti pelacuran dan subahat termaktub dalam beberapa Akta/Ordinan/Enakmen Mahkamah Syariah di negeri dan di Wilayah Persekutuan. Justeru secara praktiknya, hal jenayah juga adalah hak negeri dan ia telah termakhtub dan diamalkan di negeri-negeri melalui undang-undang Islam. Meskipun kebanyakkannya adalah jenayah dari sudut Islam, namun ada juga jenayah yang sifatnya lebih universal seperti pelacuran dan subahat dilaksanakan di peringkat negeri melalui Jabatan atau Majlis Agama Islam, di Johor dan di Kelantan umpamanya. Justeru, teori yang menyatakan bahawa undang-undang jenayah adalah dibawah bidangkuasa Persekutuan adalah kurang tepat. Pada praktiknya ia digubal, dipinda dan dilaksana oleh badan negeri.Kesalahan yang lebih universal itu pula (seperti bersubahat atau perlacuran), mungkin pada amnya nampak bertindih, namun pada praktiknya ia boleh dibezakan ke atas pesalah Islam dan bukan Islam. Hal ini telah menjadi amalan sejak sekian lama, dan secara umumnya tidak membawa masalah yang besar.

Berkenaan dengan hukum hudud boleh menyebabkan ia melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuaan atas kemungkinan layanan dan hukuman yang berbeza kepada pesalah yang melakukan kesalahan yang sama tetapi menganut agama yang berbeza, maksud Perkara itu harus diperhalusi secara mendalam dan lebih luas. Apa yang dituntut dalam Perkara 8 bukanlah layanan sama rata hanya pada nama (secara nominal), tetapi layanan berdasarkan kepada keadilan substantif. Sedang hudud itu wajib ke atas Muslim, dan hukum itu sekiranya digunapakai, maka adalah lebih adil kepadanya untuk dibicara mengikut hukum Islam. Perbuatan zina umpamanya, ia mungkin tidak menjadi kesalahan bagi orang bukan Islam, tetapi adalah satu kesalahan jika dilakukan oleh orang Islam. Dan ini amalan kita sejak sekian lama. Adakah adil jika orang bukan Islam dibicara kerana berzina? Dan adakah adil pula jika orang Islam tidak dibicara kerana berzina? Tetapi jika kita hendak menggunakan Perkara 8 secara nominal, sepatutnya Muslim tidak perlu dibicarakan dalam perbuatan zina, atau bukan Muslim pula harus dibicarakan dalam Mahkamah Syariah. Justeru, inilah keadilan substantif, meletakkan sesuatu (keadilan) pada tempatnya. Bukan secara umum, atau membuta tuli. Ini juga mungkin adalah semangat sama rata yang lebih luas yang dimaksudkan dalam Perkara 8.

Tentang pertindihan pendakwaan pula kepada Muslim pula, meskipun secara teori wujud, tetapi ia boleh diminimalkan dengan pemakaian peruntukkan perlembagaan yang telah menghalang mana-mana tertuduh pesalah daripada didakwa dua kali.

Akhir sekali, jika perlembagaan persekutuan dipinda bagi membolehkan perlaksanaan hudud negeri, maka lebih mudahlah mitos bahawa melaksanakan hudud “tidak berperlembagaan” dipatahkan. Sedangkan kuasa perlembagaan itu tidak mutlak dan termakhtub (boleh diubah) kepada aspirasi rakyat. Namun, jika perlembagaan persekutuan tidak dipinda sekalipun, pandangan bahawa melaksanakan hudud “tidak berperlembagaan”, sebagaimana yang telah dihujahkan, adalah tidak tepat.

Penulis adalah pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia.

1 comment: