Tuesday, April 6, 2010

MENJELANG MUKTAMAR SANAWI PMRAM

1. Seperti yang telah ditetapkan setiap tahun, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) akan mengadakan Muktamar Sanawi (MS) pada tahun ini. Tarikh yang telah ditetapkan adalah 10, 11. dan 12 haribulan April 2010. Bagi pencinta gerakan mahasiswa Melayu yang tertua di dunia ini, MS PMRAM merupakan satu agenda tahunan yang ditunggu-tunggu untuk menilai keseluruhan operasi pentadbiran dan usul-usul yang menggemparkan.

2. Satu perkara yang perlu saya ingatkan di sini selaku mantan Presiden PMRAM, MS bukanlah satu medan untuk menghentam pimpinan dan lapang sasar untuk menembak Badan Pengurus dengan pelbagai jenis senapang lisan dan meriam mikrofon. Sebaliknya ia adalah medan untuk mencambah budaya berfikir dan membaiki struktur organisasi supaya lebih mantap dan sesuai dengan perkembangan semasa.

3. Saya kira ramai daripada perwakilan yang tidak memahami hadaf dan tujuan MS yang telah saya sebutkan. Ini dapat dibuktikan apabila MS dijadikan medan untuk ahli berlatih bercakap, bertanya soalan yang remeh temeh seperti 'sejauh mana', 'berapa kalikah' dan lain-lain yang menunjukkan kekurangan nilai intelektual dikalangan kita sendiri.

4. Seruan saya kepada semua sempena MS kali ini adalah supaya kita mengubah corak berfikir, tidak menjadi tin kosong dan jadikan MS medan berhujjah dengan usul-usul yang pintar lagi bijak. Jangan jatuhkan maruah dan kredibiliti seorang mahasiswa Al-Azhar atau Perubatan Mesir. Sesungguhnya kalam anda akan menjadi neraca timbangan untuk menilai sifat ambil tahu dan cakna dengan perkembangan PMRAM.

5. Akhirnya, ingin saya nukilkan kalam seorang pimpinan PMRAM yang berbunyi, "Nasib kita sama. Tiada dikalangan kita yang mahu jadi pimpinan. Kita semua buat kerja untuk Islam". Fahami kata-kata ini dengan baik..Selamat Bermuktamar.

No comments:

Post a Comment