Saturday, May 22, 2010

JENAYAH MENGHINA RASULULLAH: BILA AKAN BERAKHIR?


Syukur kepada Allah bila dapat tahu gambar-gambar lukisan yang menghina Rasulullah sudah pun dibuang daripada facebook. Sungguh celaka lagi hina mereka yang melakukannya. Kononnya mereka melukis kerana hendak menghayati kebebasan bersuara. Memang benar mereka ni golongan yang tak berotak. Adakah mereka akan menganggap satu kebebasan kalau sudah sampai tahap menghina, mencaci dan mencela seseorang yang amat diagungkan oleh satu billion manusia?

Jenayah menghina agama sewajarnya diangkat menjadi satu undang-undang diperingkat dunia. Mereka yang melakukannya sewajar dihukum dengan hukuman berat kalau tidak sampai hati nak dibunuh. Tetapi ingat, di dalam Islam, mereka yang mencaci dan menghina Rasulullah hukumannya adalah bunuh sekiranya tidak bertaubat. Bukan main-main.

Namun, mereka yang tidak mengenal (golongan non muslim@anti Islam) ajaran dan peribadi serta kedudukan Rasulullah tidak faham persoalan ini. Islam amat menghormati agama-agama lain. Umat Islam tidak dibenarkan menghina tuhan-tuhan sembahan agama lain. Hukumnya haram dan berdosa. Agama Islam mengiktiraf Nabi Isa sebagai Rasul. Bahkan bilangan lafaz ‘Isa’ lebih banyak disebut berbanding nabi-nabi lain termasuk Nabi Muhammad (kalau salah tolong betulkan).Islam tidak pernah menghina sesiapa melainkan dengan meminta pihak yang tidak beriman dengan Rasulullah supaya mendatangkan hujjah kebenaran agama mereka. Ya, hujjah dengan hujjah. Bukan menghina, mencela dan sebagainya.

Satu hal lagi ialah mereka yang menghina Rasulullah secara tersenbunyi. Perbuatan mereka telah menghina Rasulullah dan Islam secara keseluruhannya. Perbuatan ini kesannya lebih berbahaya berbanding jenayah menghian Rasulullah secara terang-terangan yang dilakukan oleh mereka yang tidak beriman dengan Nabi Muhammad. Tetapi yang menghina Nabi Muhammad tanpa sedar telah dilakukan oleh mereka yang mengaku umat baginda! Contoh yang boleh disebutkan di sini:

1. Menghina sunnah nabi seperti janggut dan sebagainya.
2. Menghina undang-undang Islam.
3. Meluluskan lesen judi.
4. Menolak Islam sebagai dasar Negara
5. Melakukan kezaliman, penindasan dan fitnah kepada penuntut ilmu agama (kat mana agaknya?)
6. Anti hadis
7. Golongan yang hanya berpegang zahir hadis nabi dan mendakwa itulah daripada Nabi sedangkan kehendak nabi berlainan.

Bermacam lagi jenayah yang mana sebenarnya berpunca kerana tidak kenal Rasulullah dan ajaran baginda. Bagi kita penuntut ilmu teruskan dakwah. Sebarkan kefahaman sebenar tentang Islam dan Nabi kita yang agung lagi mulia, Muhammad Sallallu alahi wasallam.

MENUNGGU KEPULANGAN PUTERAKU..


Sudah empat hari ana menunggu kepulangan putera kedua yang dilahirkan pada hari Selasa, 18.5.2010, yang lalu. Putera kedua ana ni telah ditempatkan di klinik swasta kanak-kanak Dr. Habasyi berdekatan bandar Misr Jadidah lebih kurang 30 minit dari Hayyu Sabie’. Doktor menjanjikan pada hari Isnin ini dia boleh keluar dari klinik. Dia terpaksa menjalani rawatan rapi di sana kerana mengalami masalah pernafasan dan perlu diletakkan dalam inkubator.

Zaujah ana pula terpaksa menjalani pembedahan untuk melahirkannya kerana pada tahun lepas zaujah ana juga menjalani pembedahan untuk putera pertama, Mohd Khairul Imdad yang kini berusia setahun 22 hari. Sudah ditakdirkan Allah s.w.t putera kedua ini lahir setahun selepas putera pertama walaupun doktor sudah pun menasihati agar berehat lebih daripada dua tahun sebelum mengandung anak kedua. Nak buat macam mana? Memang dah jadi rezeki tuhan.

Kos ‘menyelamatkan’ nyawa bayi dan zaujah pun boleh tahan. Jumlahnya hampir LE 5000 setakat ni. Barangkali inilah kos yang termahal untuk bersalin. Namun kalau nak dibandingkan dengan nyawa semua itu tiada nilainya. Ini pun dah cukup bernasib baik kerana bayi yang lahir masih bernyawa dan hanya perlukan bantuan oksigen berbanding sahabat kita daripada kedah yang menyambut anak beliau dalam keadaan yang sudah tidak bernyawa. Alhamdulillah ala kulli hal. Terima kasih juga ana ucapkan kepada BP-BP PMRAM yang banyak membantu. Tanpa mereka, tentu sukar segala urusan bersalin. Syukran lakum.

Ana mengharapkan agar sahabat dan sahabiah berdoa agar putera kedua ana segera pulang dalam keadaan baik dan sihat. Solat hajat dialu-alukan. Moga-moga di sana ada hikmah dan rahsia yang ingin Allah tunjukkan.

Wednesday, April 14, 2010

HUKUM BEKERJASAMA DENGAN ISRAEL


1. Isu APCO merupakan satu isu yang cukup sensitif. Mahasiswa perlu memandang isu ini sebagai perkara aulawiyyat yang perlu dikaji dan diteliti dari aspek politik dan juga keagamaan. Secara realitinya, Israel merupakan sebuah negara yang dikenali sebagai negara haram yang melakukan kezaliman terhadap umat Islam palestin secara khusus dan berusaha sedaya-upaya untuk menakluki seluruh negara umat Islam.

2. Para ulama telah membahaskan hukum bekerjasama dalam kitab-kitab mereka secara panjang lebar. Dalam al-Quran telah termaktub satu ayat yang jelas menyatakan bahawa kaum yahudi tidak akan berdiam diri dan redha dengan umat Islam sehinggalah umat Islam mengikut telunjuk mereka. Cuba fikir apa akan terjadi sekiranya kita sendiri memberikan ruang kepada mereka untuk menasihati kita?

3. Saya di sini tidak berhajat untuk memuatkan dalil-dalil secara khusus dalam masalah ini. Cuma apa yang ingin saya bawakan di sini ialah fatwa yang telah dikeluarkan oleh para ulama pada zaman ini. Untuk pengetahuan pembaca yang dikasihi sekalian, ulama al-azhar sekitar tahun 60 an atau 70 an melalui majma buhuth telah mengeluarkan fatwa mengharamkan sebarang perdamaian dan kerjasama dengan Israel. Ulama-ulama tersebut adalah:

a. Allamah As-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf Mufti Mesir terdahulu.
b. Allamah As-Syeikh Isa Manun As-Syafei
c. Allamah As-Syeikh Mahmud Syaltut al-Hanafi
d.Allamah As-Syeikh Muhammad At-Thonikhi al-Maliki
e.Allamah As-Syeikh Muhammad Abdul Latif as-Subki al-Hanbali

4. Secara ringkasnya perkara tersebut adalah HARAM berdasarkan perkara-perkara berikut:

a. Mengiktiraf penindasan dan kezaliman Israel terhadap Palestin.
b.Memberikan kekuatan kepada Israel
c.Mengetepikan arahan Allah untuk membalas setiap kezaliman yang berlaku.

5.Akhir sekali, diharapkan agar kita berhati-hati dengan mainan politik Israel dan sentiasa mengambil cakna tentang apa yang berlaku sekitar isu umat Islam. wallahua'lam.

Rujukan :

Fatawa Syaazah oleh Imam Yusuf Al-Qaradawi
Dar As-Syuruq
Cetakan 2010.

Tuesday, April 6, 2010

MENJELANG MUKTAMAR SANAWI PMRAM

1. Seperti yang telah ditetapkan setiap tahun, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) akan mengadakan Muktamar Sanawi (MS) pada tahun ini. Tarikh yang telah ditetapkan adalah 10, 11. dan 12 haribulan April 2010. Bagi pencinta gerakan mahasiswa Melayu yang tertua di dunia ini, MS PMRAM merupakan satu agenda tahunan yang ditunggu-tunggu untuk menilai keseluruhan operasi pentadbiran dan usul-usul yang menggemparkan.

2. Satu perkara yang perlu saya ingatkan di sini selaku mantan Presiden PMRAM, MS bukanlah satu medan untuk menghentam pimpinan dan lapang sasar untuk menembak Badan Pengurus dengan pelbagai jenis senapang lisan dan meriam mikrofon. Sebaliknya ia adalah medan untuk mencambah budaya berfikir dan membaiki struktur organisasi supaya lebih mantap dan sesuai dengan perkembangan semasa.

3. Saya kira ramai daripada perwakilan yang tidak memahami hadaf dan tujuan MS yang telah saya sebutkan. Ini dapat dibuktikan apabila MS dijadikan medan untuk ahli berlatih bercakap, bertanya soalan yang remeh temeh seperti 'sejauh mana', 'berapa kalikah' dan lain-lain yang menunjukkan kekurangan nilai intelektual dikalangan kita sendiri.

4. Seruan saya kepada semua sempena MS kali ini adalah supaya kita mengubah corak berfikir, tidak menjadi tin kosong dan jadikan MS medan berhujjah dengan usul-usul yang pintar lagi bijak. Jangan jatuhkan maruah dan kredibiliti seorang mahasiswa Al-Azhar atau Perubatan Mesir. Sesungguhnya kalam anda akan menjadi neraca timbangan untuk menilai sifat ambil tahu dan cakna dengan perkembangan PMRAM.

5. Akhirnya, ingin saya nukilkan kalam seorang pimpinan PMRAM yang berbunyi, "Nasib kita sama. Tiada dikalangan kita yang mahu jadi pimpinan. Kita semua buat kerja untuk Islam". Fahami kata-kata ini dengan baik..Selamat Bermuktamar.

Sunday, April 4, 2010

JADUAL KELAS PENGAJIAN

Kepada mana-mana sahabat yang berminat untuk mengikuti kelas pengajian yang disampaikan oleh al-faqir bolehlah merujuk perkara di bawah:

1. Kitab Tuhfatul Tullab Syarah Tanqihul Lubab
2. Al-Baithul Hathith Syarah Ikhtisor Ulum Al-Hadis
3. Matan As-Sullam Fi Ilmil Mantiq

(Setiap hari Sabtu dan Rabu selepas maghrib di Rumah Kelantan Baru)

4. Nailu Arraja'
5. Min Adabil Islam

(Setiap malam Sabtu selepas isyak di Sayyidah Zainab untuk akhawat perubatan sahaj

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 011-5786107..

Tuesday, March 16, 2010

Syeikh Al-Azhar : Siapakah Yang Akan Menjadi Pengganti?


Pemergian Syaikhuna Al-Imam Al-Akbar baru-baru ini telah mengejutkan semua pihak. Sesungguhnya pemergian seorang ulama yang amat berjasa kepada umat Islam ini tidak diduga walaupun beliau diketahui umum kesihatannya tidak berada ditahap yang baik. Beliau masih lagi mampu untuk melaksanakan tugas beliau dan sanggup untuk bermusafir ke Saudi dalam rangka kerja baliau walaupun dalam keadaan demikian. Moga-moga Allah membariskan beliau dikalangan para syuhada' dan diampunkan olehNya.

Isu pemergian beliau tidak berhenti di situ. Pasti di sana sudah ada perbincangan siapakah yang akan menggantikan tempat beliau sebagai Syaikhul Azhar. Jawatan ini bukanlah satu jawatan yang kecil kerana ianya melibatkan benteng utama umat Islam iaitu Al-Azhar dan suara Islam kepada masyarakat antarabangsa.

Dahulunya perlantikan Syaikhul Azhar adalah melalui perbincangan dan undian dikalangan ulama-ulama Al-Azhar sendiri. Mereka akan memilih siapakah yang paling berilmu dan paling layak untuk memimpin Al-Azhar. kemudiannya jawatan ini ditentukan sendiri oleh kerajaan Mesir. namun pada kali ini timbul desas-desus ynag mengatakan perlantikan ini akan dibuat semula mengikut proses pengundian dan pemilihan dikalangan ulama Al-Azhar sendiri. Sekiranya ini terjadi maka ia adalah satu keputusan yang terbaik.

Walauapapun proses yang dilakukan, persoalannya siapakah yang paling layak untuk menduduki tempat tersebut?

Semasa saya menghadiri kelas pengajian kitab Al-Muwatto' di Masjid Al-Azhar yang diajar oleh Syaikhuna Dr. Muhammad Wussam Khidr (Pemegang Ijazah Phd usul Fiqh Al-Azhar dengan martabat Kepujian kelas pertama-Syaraf Ula) beliau sendiri berharap guru beliau, Mufti Mesir, Al-Allamah Dr. 'Ali Jumuah hafizohullah untuk menyandang jawatan tersebut. Ini kerana keilmuan belaiu yang cukup tinggi dan pemikiran beliau yang banyak melangkaui zamannya sendiri. Beliau sendiri telah menghidupkan kembali dan 'memberikan' roh semula kepada masjid Al-Azhar dengan pengajian dan Darul Ifta' sebagai pusat fatwa yang berwibawa.

Maka, sekiranya beliau menjadi Syaikhul Azhar kitra akan melihat Al-Azhar akan lebih berwibawa dan akan kembali kepada zaman kegemilangannya seperti dahulu yang banyak melahirkan Imam-Imam besar dalam segenap ilmu pengetahuan.

Itu pendapat yang dilontarkan beliau sebelum pemergian Al-Allamah Dr. Muhammad Sayyid Al-Tontowi Rahimahullah.

Disini saya tidak mahu memberi komen yang lanjut berkaitan hal ini. Moga-moga Allah menggangkat mereka yang paling ikhlas untuk memimpin pusat ilmu utama di dunia ini daripada kalangan para Auliya'nya..amin.


Thursday, February 25, 2010