Wednesday, November 10, 2010

BEBERAPA PERBAHASAN HUKUM IBADAH KORBAN


Bulan Zulhijjah dan Hari Raya Eidul Adha adalah salah satu bulan dan hari yang penting kepada umat Islam kerana terdapat padanya satu ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t iaitu ibadah haji dan korban. Bagi mereka yang ingin melaksanakan korban maka di sini saya ingin berkongsi beberapa perbahasan hukum korban semoga ia dapat member manafaat kepada kita semua.

Pengenalan Ibadah Korban

Ibadah korban dalam bahasa Arab dipanggil sebagai Udhiyyah (أضحية). Ia adalah satu nama untuk binatang yang disembelih pada hari raya Eidul Adha. Di sisi syara’ ia bermaksud satu penyembelihan bianatang yang khusus dengan niat ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah pada hari-hari yang khusus.

Kelebihan Ibadah KorbanImbang Penuh

Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan melakukan ibadah korban ini. Antaranya ialah hadis yang berbunyi:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلًا أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ هِرَاقَةِ دَمٍ وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَشْعَارِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Yang bermaksud:

“Daripada Aisyah R.A sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Tidaklah seorang anak Adam melakukan amalan pada hari Raya yang lebih disukai oleh Allah s.w.t daripada menumpahkan darah (melakukan korban) kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Qiamat dengan tanduk-tanduknya dan kaki-kakinya serta bulu-bulunya dan sesungguhnya darah tersebut akan berada satu tempat di sisi Allah (diterima olehNya) sebelum ia mencecah bumi maka jadikanlah dirimu suka akannya (korban)”

(Riwayat Al-Hakim, Ibn Majah dan At-Tirmizi dengan kata beliau: Ini hadis Hasan Gharib-lihat Nailul Authar 5/108)


Hikmah Ibadah Korban

1. Mensyukuri nikmat Allah yang amat banyak.
2. Menghargai nikmat diberi kehidupan oleh Allah dari tahun ke tahun.
3. Menghapuskan dosa-dosa.
4. Melakukan kebaikan kepada anggota keluarga dan masyarakat.

Hukum Ibadah Korban

Hukumnya adalah sunat muakkad (amat dituntut) secara kifayah (sunat kifayah) untuk setiap rumah atau keluarga yang ramai dengan maksud memadai hanya seorang ahli keluarga melaksanakannya manakala yang lainnya tidak dituntut untuk melakukan ibadah sunat ini. Sekiranya tidak maka ia adalah sunat ‘aini yang mana individu tersebut dituntut melakukannya sekali seumur hidup. Sekiranya ditinggalkan dalam keadaan dia berkemampuan maka hukumnya adalah makruh sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Al-Imam Syafie (lihat Al-Iqna’ syarah Abi Syuja’)

Ibadah korban juga boleh menjadi wajib disebabkan seseorang itu bernazar untuk melakukan ibadah korban seperti juga ibadah-ibadah yang lain. Begitu juga sekiranya pemilik binatang ditanya untuk apakah binatang ini lalu dijawabnya, “Ini adalah untuk korban” maka berkata setengah ulama hukumnya itu sama dengan nazar juga maka haram ke atasnya memakan daging binatang tersebut dan susunya. Namun sekiranya hanya meniatkan bahawa binatang tersebut untuk korban tetapi tidak melafazkannya maka tidak menjadi wajib korban. Sekiranya seseorang itu berkata, “Ini adalah untuk korban InsyaAllah/ korban sunat” maka tidak menjadi wajib. Oleh itu maka mereka yang ada binatang dan pada mulanya ingin melakukan ibadah korban tetapi masih belum pasti maka hendaklah dia berhati-hati.

Syarat Ibadah Korban


1. Syarat Orang yang melakukan ibadah korban:
a. Islam
b. Merdeka (bukan hamba)
c. Mempunyai kemampuan dan belanja yang melebihi hajatnya dan keluarga yang ditanggungnya pada hari raya dan hari Tasyriq.

2. Syarat sah binatang korban:
a. Binatang ternakan iaitu:
- biri-biri yang masuk umur dua tahun atau yang sudah bersalin gigi walaupun belum genap setahun.
- Kambing atau lembu atau kerbau yang cukup umur dua tahun dan masuk pada tahun ketiga.
- Unta yang cukup umur lima tahun dan masuk pada tahun keenam.
- Binatang paling utama mengikut turutan adalah unta, lembu atau kerbau kemudian kambing atau biri-biri. Yang paling afdal untuk dikorbankan ialah binatang yang paling sihat dan banyak dagingnya.

b. Binatang ternakan seperti unta, lembu dan kerbau setiap ekor boleh dibuat tujuh bahagian walaupun untuk tujuan lain-lain seperti akikah, korban dan sebagainya manakala selainnya hanya dikira satu bahagian untuk seekor.

c. Selamat daripada cela yang mencacatkan dan mengurangkan dagingnya seperti buta sebelah matanya, sakit, tempang atau patah kakinya,kurus atau gila. Namun sekiranya hanya patah giginya, kudung ekornya sejak asal atau patah tanduk dan terbelah telinganya maka tidak mengapa tetapi makruh sahaja.

3. Waktu sah melakukan korban ialah bermula setelah berlalunya dua rakaat sunat hari raya dan dua khutbah yang ringkas selepas naik matahari pada pagi hari raya itu. Disunatkan melambatkan sembelihan selepas solat dan harus sembelih sebelum solat. Waktu tersebut kekal sehingga terbenam matahari akhir hari tasyriq (13 zulhijjah). Sembelihan sah tidak kira malam atau siang tetapi makruh pada waktu malam.

Perkara yang disunatkan dalam ibadah korban

Perkara yang disebutkan di bawah hampir menjadi kesepakatan semua fuqaha’. Perkara-perkara tersebut adalah seperti:

1. Mengikat binatang korban (tidak melepaskannya merata-rata) untuk menzahirkan kesediaan tuannya untuk melakukan korban dan syiar agama Islam.
2. Menggantung sesuatu pada tengkuk binatang tersebut atau membuat tanda agar diketahui bahawa ia untuk dikorbankan.
3. Tidak memerah susunya, mengambil bulunya atau menggunakannya seperti menunggangnya.
4. Menariknya ketempat korban dengan cermat dan baik tanpa berkasar seperti menendangnya atau memukulnya.
5. Menyembelih sendiri binatang korban sekiranya ia mampu kerana mengikut sunnah Rasulullah s.a.w yang menyembelih sendiri lebih 60 ekor binatang korban dengan tangan baginda yang mulia sebagaimana hadis riwayat Imam Ahmad (lihat Nailul Authar 5/505).
6. Menyembelih dengan menghadap qiblat, membaca bismillah, selawat, bertakbir serta berdoa supaya diterima.
7. Orang yang melakukan korban hadir ke tempat sembelihan dan melihat sendiri binatang tersebut semasa disembelih.
8. Disunatkan berdoa seperti doa:

وجهت وجهي للذي فطر السموات والأرض حنيفا وما أنا من المشركين إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين لا شريك له وبذلك أمرت وأنا أول المسلمين اللهم منك ولك

Kemudian dia berkata:

بسم الله, والله أكبر, اللهم تقبل مني

9. Tidak memotong kuku dan rambut setelah masuk bulan Zulhijjah kerana hadis yang berbunyi:

من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي

Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )

Hal-hal lain berkaitan individu yang melakukan korban

1. Memadai niat korban pada ketika sembelih (bagi orang yang hadir ke tempat sembelih) atau sebelumnya ketika mana telah ditentukan binatang yang hendak disembelih. Tidaklah wajib niat pada ketika sembelih sahaja.
2. Memadai juga niat korban dan sembelihan diwakilkan kepada orang lain. Niat korban boleh dibuat ketika mewakilkannya manakala wakil hanya sembelih sahaja.
3. Tidak sah niat selepas sembelihan berlaku.
4. Niat adalah seperti berikut: Aku jadikannya (binatang ini) sebagi korbanku kerana Allah s.w.t.
5. Sah juga ia menyerahkan (wakilkan) niat kepada orang lain yang muslim lagi mumayyiz.
6. Dibenarkan melantik seorang pengurus untuk membeli binatang korban, meniatkan untuknya, menyembelih, membahagikan daging dan segala urusan yang berkaitan.
7. Tidak harus korban untuk orang lain tanpa izinnya dan tidak harus korban untuk si mati tanpa ada wasiat darinya. Namun para ulama mazhab Hanafi dan Maliki membenarkannya dan pahala tersebut adalah kepada si mati tetapi haram di sisi Hanafi memakan daging korban itu.

Hukum berkaitan daging korban

1. Korban yang sunat adalah disunatkan untuk dimakan tidak melebihi satu pertiga untuk mendapat keberkatan darinya manakala yang wajib pula wajib disedekahkan kesemuanya dan haram dimakan.
2. Mengikut pendapat yang paling kuat (Al-asoh) di sisi mazhab Syafie daging korban adalah wajib disedekahkan walaupun sedikit kepada faqir miskin sekalipun seorang sahaja. Paling baik disedekahkan semuanya dan dimakan sedikit sahaja oleh tuan empunya korban.
3. Mazhab Hanafi dan Hanbali dan pandangan muktamad dalam mazhab syafie pula berpandangan sunat membahagikan daging korban kepada 3 bahagian. Satu bahagian dimakan sendiri, satu bahagian lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan satu bahagian terakhir dihadiahkan kepada mereka yang berada atau kaya.
4. Haram menjual kulit binatang korban, daging, anggotanya, kepalanya dan lain-lain samada korban wajib atau sunat.
5. Tidak harus memberikan tukang sembelih kulit atau daging korban sebagai UPAH kepadanya namun sekiranya disedekahkan kepadanya atas dasar orang miskin atau berhajat maka dibenarkan.
6. Haram memindahkan daging korban yang dikorbankan di sebuah negeri ke negeri yang lain.
7. Dibenarkan untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.
8. Ulama berbeza pendapat dalam hal memberi sedekah daging korban kepada orang kafir, sebahagian mazhab mengatakannya haram, ada yang mengatakannya makruh dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai harus kerana ia bukannya sedeqah wajib. Sekiranya korban wajib maka ia adalah haram di sisi mereka. Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

Wallahu ‘Aalam

Rujukan:
1. Fiqhul Islami Wa Adillatuhu
2. Kasyful Litham ‘An Masalatil Anaam-jawi
3. Sabilul Muhtadi-jawi
4. Hasyiah Al-Baijuri
5. Al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’
6. Web www.zaharuddin.net

















Monday, October 25, 2010

NEGARA MALAYSIA HAMPIR MUFLIS??

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini mendedahkan bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun.

Hutang itu mencakupi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), kali pertama keadaan itu berlaku dalam sejarah negara, kata beliau dalam laporan tahunan terbaru yang di bentangkan di Parlimen hari ini.

Hutang RM362.39 bilion ringgit yang disebut dalam laporan audit itu juga jauh lebih tinggi daripada RM233.92 billion yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Jun lalu.

Ketika itu Najib juga mendakwa hutang itu hanya mencakupi 34.3 peratus KDNK.

Dalam laporannya hari ini, Ketua Audit Negara menjelaskan hutang kerajaan meningkat dengan mendadak kerana hutang dalam negara yang semakin membesar.

Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan

UNSUR-UNSUR TARBIYAH DALAM PILIHANRAYA


Semoga kita semua boleh berkongsi satu artikel yang di ambil daripada blog abi (link) berkaitan peranan pilihanraya dalam membentuk fardul muslim yang menjiwai tarbiyah harakiyyah..

TARBIYAH HARAKIYYAH

Proses perubahan terhadap diri manusia melalui penyemaian dan penyuburan ilmu dan iman, pengasuhan amal dan akhlaq serta pengukuhan iltizam dalam penegakan amal Islami melalui jamaah.

UNSUR TARBIYYAH DI BIDANG AMAL

a. Pengurusan Jentera Pilihanraya
– Logistik
– Penerangan
– Keselamatan
– Urusan Ulama’
– Daftar pengundi
– PACA
– Bilik Gerakan dsb

b.Intelligence
– Penyelidikan
– Info
- Keselamatan
– Perang saraf
– Operasi sulit
– Sabotaj

c.Pembinaan perancangan : strategi dan taktik

d.Nasrun Min Allah ( Pertolongan Allah )

Al Baqarah : 214, Ali Imran : 126 As Sof : 13 , Ar Rum : 47 Muhammad : 7

UNSUR TARBIYYAH DI BIDANG AKHLAQ

a. Ikhlas
– Al An’am : 162

b. Kesetiaan ( Al Wala’ )
– Al Maidah : 56

c. Kepatuhan ( At Ta’at )
– `Dengar dan patuh selama mana tidak diperintahkan dengar kemaksiatan’ - Al Hadith

d. Kesungguhan ( Al Jihad )
- At Taubah : 41

e. Kesabaran ( As Sabru )
- Ali Imran : 200

f. Penguasaan dakwah ( Isti’ab khorijiy )
– Manis wajah, menarik dan kemahiran interpersonal

UNSUR TARBIYYAH DI BIDANG ILTIZAM

a. Keterlibatan
– Berjawatan @ berperanan
– Tahu apa yang perlu diketahui, tahu apa yang perlu dibuat dan tahu bagaimana untuk buat.

b. Pengorbanan
- Masa
- Kesenangan
- Keselesaan
- Keluarga
- Kerjaya
- Harta dan kewangan

TARBIYYAH MENJELANG PILIHANRAYA
  • Pemerkasaan wala’ dan taat
  • Pemerkasaan wasilah tarbiyah
  • Pemerkasaan ukhuwwah
  • Pemerkasaan jatidiri ruhiyyah
USLUB TARBIYYAH UNTUK FARDI

1. Qiyamullail
- Jadual individu
- Jenis amalan

2. Quraniyyah
-Jadual tilawah
-Surah At Taubah,Al Ahzab,Al Anfal,Muhammad,Al Hujurat dan As Sof

3. Zikir dan aurad
-Al Ma’thurat
-Wazhifah sughro dan kubro
-Doa’-doa’ terpilih.

USLUB TARBIYYAH UNTUK JAMA’IY

a. Usrah
– Fokus pada teks As Sof, Muhammad dan Al Fath
– Fokus pada tema iman,wala’,taat,bay’ah,jihad dan pengorbanan

b.Tamrin / mukhaiyyam
– Fokus pada modul pembinaan wala’, ukhuwwah, team work.
– Pendedahan ilmu intelligence( seni perjuangan @ art of war )

WALLAHU A’LAM

Kemenangan bermula dari kemenangan ruh terhadap kejahatan nafsu dalam diri kita…

Sunday, October 24, 2010

MENEGUR PEMIMPIN SECARA TERBUKA DI SISI SYARA': PERBAHASAN HUKUM

Islam adalah agama nasihat. Kita sewajarnya memberikan nasihat kepada sesiapa sahaja termasuk juga para pemimpin kita. Itu merupakan perkara pokok dalam agama dan asas kepImbang Penuhada pembentukan masyarakat yang bertamadun. Rasulullah s.a.w sendiri telah bersabda:

الدين النصيحة قلنا : لمن ؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم

“Agama adalah nasihat. Kami (sahabat) bertanya: Kepada siapa? Berkata Rasulullah: Kepada Allah dan kepada kitabNya serta RasulNya dan juga para pemimpin orang Islam dan semua umat Islam”(Riwayat Muslim)


Islam juga menyuruh kita supaya berusaha mencegah mungkar sedaya upaya kita. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w juga telah bersabda:

من رأى منكم منكرًا فليغيره بيده ، فإن لم يستطيع فبلسانه ، فإن لم يستطيع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان

“Sesiapa yang melihat di kalangan kamu satu kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan lidahnya, kemudian sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman”


Persoalannya bagaimanakah cara untuk kita menasihati atau mencegah kemungkaran serta mengubahnya mengikut panduan Islam dan petunjuk daripada salafussoleh? Adakah dengan cara kita membantah dengan cara terbuka atau pun dengan cara tersembunyi? Jikalau pemimpin kita melakukan kemungkaran maka apakah cara yang terbaik untuk mencegah kemungkaran yang dilakukannya?

Dalam persoalan ini sebenarnya Islam telah memberikan jawapan yang tepat kepada kita. Sebagai umat yang dipertanggungjawabkan untuk memikul tugas dakwah dan islah, Islam memberikan kepada kita cara-cara supaya menepati dengan hakikat syara’ itu sendiri.

Sememangnya perkara asal dalam agama apabila berhadapan dengan orang yang melakukan maksiat adalah tidak mendedahkannya kepada khalayak umum serta menasihatinya secara bersendirian tanpa diketahui oleh orang lain.Rasulullah s.a.w telah bersabda:

إنَّ الله سِتِّيرٌ يُحِبُّ السِّتْرَ

“Sesungguhnya Allah itu Maha Menyembunyikan (kesalahan) dan amat suka menyembunyikan (kesalahan)” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)


لا يستر عبد عبدا في الدنيا الإ ستره الله يوم القيامة

“Tidaklah menyembunyikan seorang hamba itu akan kesalahan hamba yang lain melainkan Allah akan menyembunyikan kesalahanya pada hari kiamat” (Hadis riwayat Muslim)


Walaupun begitu perkara tersebut dilaksanakan kepada mereka yang tidak melakukan maksiat secara terang-terangan yang digelar sebagai Al-Mujaahir. Maka bagi mereka yang tidak segan silu melakukan kemungkaran, mengisytiharkan dosa mereka dikhalayak umum, maka tidak ada cara lain untuk kita mencegahnya melainkan dengan cara kita mendedahkan perbuatannya itu, menceritakan kepada manusia yang lain sebagai balasan terhadap pelaku maksiat tersebut dan memberikan ancaman kepada oarng lain supaya tidak mencontohinya. Itulah yang telah ditetapkan dalam Islam dan disokong oleh dalil-dalil syara’ serta kata-kata ulama dan salafussoleh.

Imam Ahmad Radiallahu Anhu telah berkata:

الناسُ يَحتاجون إلى مُداراةٍ، ورِفْقٍ في الأمرِ بالمعروفِ، بلا غِلْظةٍ، إلاَّ رجُلاً مُبايناً، مُعلناً بالفسْقِ والرَّدى، فيجبُ عليك نهيُهُ وإعلامُهُ؛ لأنَّه يُقالُ : ليس لِفاسقٍ حُرمةٌ، فهذا لا حُرْمةَ له
“Manusia memerlukan kesopanan dan kelembutan dalam melaksanakan suruhan kepada perkara makruf, tanpa kekerasan melainkan lelaki yang menonjolkan dan terang-terangan melakukan kefasikan dan kerosakan maka wajib ke atas kamu mencegahnya dan mengzahirkan perbuatannya itu kerana seorang yang fasiq itu tidak mempunyai kehormatan dan dia tiada maruah” (lihat Al-Amru Bil Makruf wa Nahyu ‘An Mungkar, karangan Imam Al-Khallal, m.s 35)

Imam Nawawi Radiallahu Anhu berkata:

وأمَّا السِّترُ المندوب إليه هنا، فالمراد به الستر على ذوي الهيئاتِ ( أهل السُّؤددِ والفَضْلِ الذين لا يُعْرَفُون بالشَّرِ والفسادِ ) ونحوهم، ممَّن ليس معروفاً بالأذى والفسادِ، فأمَّا المعرُوفُ بذلك فيُستحبُّ ألاَّ يُستَرَ عليه؛ تُرفعُ قضيَّتُه إلى وليِّ الأمرِ، إن لم يُخَفْ من ذلك مفسدةً، لأنَّ السِّترَ على هذا يُطْمِعُهُ في الإيذاءِ والفسادِ، وانتهاكِ الحُرُمات، وجَسارةُ غيرِه على مثلِ فِعْلِه

“Adapun menyembunyikan kesalahan yang disunatkan di sini, maka maksudnya adalah memnyembunyikan kesalahan orang-orang kenamaan (pemimpin dan orang yang berjasa yang tidak masyhur dengan perbuatan jahat dan kerosakkan) serta seumpama dengannya. Yang terdiri dari mereka yang bukan terkenal dengan perbuatan zalim dan jahat. Adapun mereka yang dikenali dengan seumpama itu maka disunatkan agar tidak disembunyikan perbuatnnya dan dilaporkan perbuatannya itu kepada pihak berkuasa sekiranya tidak dikhuatiri kemudaratan dari perbuatannya itu kerana menyembunyikan kesalahannya akan menjadikannya semakin berani untuk melakukan kejahatan dan kerosakkan serta memperkosa segala maruah dan menjadi jambatan kepada orang lain untuk mencontohinya..” (Syarah Sahih Muslim karangan Imam An-Nawawi 16/135)


Perkara ini juga antara perkara yang mengharuskan mengumpat (menceritakan keburukan orang lain kepada masyarakat awam). Perkara ini telah ditegaskan oleh ramai ulama seperti Imam Nawawi dalam kitab beliau Riadhussolihin dalam bab keharusan mengumpat (ibahatul Ghibah).

Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali Radiallahu Anhu berkata:

واعلم أنَّ الناسَ على ضربين :
أحدهما : من كان مستوراً لا يُعرفُ بشيءٍ من المعاصي، فإذا وقعت منه هَفْوةٌ أو زلَّةٌ فإنَّه لا يجوزُ كشفُها ولا هتكُها، ولا التَّحدُّثُ بها ...
والثاني : من كان مشهوراً بالمعاصي مُعلناً بها، لا يُبالي بما ارتكبَ منها، ولا بما قيلَ له، فهذا هو الفاجرُ المُعْلنُ، وليس له غيبةٌ، كما نصَّ على ذلك الحسنُ البَصْريُّ وغيرُه.

“Ketahuilah bahawa manusia ada dua golongan:


Pertama: Orang yang tidak dikenali serta tidak masyhur dengan perkara maksiat, maka sekiranya terjadi kepadanya kesilapan kecil dan kekurangan maka tidaklah boleh mendedahkannya dan merosakkan maruahnya serta tidak boleh diceritakan..

Kedua: Orang yang masyhur dengan perbuatan maksiat serta secara terang-terangan dan tidak segan silu melakukannya serta tidak hiraukan nasihat yang diberikan kepadanya maka ini adalah orang jahat yang menzahirkan dosanya. Tidak berdosa mengumpat dirinya sebagaimana yang telah dinaskan oleh Hassan Basri serta selainnya.” (Jaamiul Uluum Wal Hikam)

Imam Al-Bahutiyy telah berkata:

قال جمعٌ مُحَقِّقُون : إلاَّ على مَشْهُورٍ ببدعةٍ، أو فُجُورٍ ونحوِه كَكَذِبٍ، فَيُسنُّ إظهارُ شَرِّه، وسِتْرُ خيرِه ليرتدِعَ نظيرُه

“Segolongan Ulama Muhaqqiqin telah berkata: Melainkan orang yang masyhur melakukan bidaah atau maksiat dengan nyata seumpama dengan seperti penipuan, maka disunatkan menzahirkan kejahatannya dan menyembunyikan kebaikannya supaya tidak dilakukan oleh orang lain” (Kasyful Qinaa’:2/121)

Begitulah juga yang telah dinyatakan oleh ulama-ulama besar yang lain seperti Imam Ibnu muflih dalam kitabnya Al-Furu’(2/217) dan Imam Al-Mardawi dalam Al-Insoof (2/506).

Begitulah juga dalam persoalan menegur kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin. Rasulullah s.a.w dalam hal ini telah bersabda dalam satu hadis sahih:

من أراد أن ينصح لذي سلطان فلا يبده علانية، ولكن ليخْلُ به، وليدْنُ منه، فإن قبل منه فذاك، وإلا فقد أدَّى الذي عليه

“Barangsiapa yang ingin menasihati sultan (pemerintah) maka janganlah dilakukan secara terang-terangan (terbuka) tetapi hendaklah dia duduk berdua dengannya dan mendekatinya maka sekiranya dia menerima nasihatnya itu maka itulah (yang terbaik) tetapi sekiranya enggan maka dia telah laksanakan tanggungjawabnya”


Dalam hadis sahih yang lain Rasulullah s.a.w telah bersabda:

أَقِيلُوا ذَوِي الهيئاتِ عَثَراتِهم

“Maafilah kesalahan-kesalahan orang-orang kenamaan dari kalangan kamu” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)


Apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis tersebut adalah merupakan perkara asal dalam kita mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin dengan menggunakan uslub lemah lembut dan kesopanan. Itulah cara untuk berhadapan dengan pemimpin yang adil dan saksama serta tidak masyhur dengan kezaliman dalam pemerintahannya.

Namun, sekiranya pemimpin tersebut merupakan pemimpin yang menzahirkan perbuatan maksiat dihadapan rakyat dan tidak menghiraukan nasihat orang lain terhadapnya maka dibenarkan untuk didedahkan perbuatannya itu serta dinasihatkan di khalayak ramai agar seluruh manusia mengetahui keburukan perbuatannya itu lalu tidak mengikutinya sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam Ibnu Qayyim di dalam kitab Badai’ Al-Fawaid (3/138):

والظاهرُ أنَّهم ذوو الأقدارِ بين النَّاسِ من الجاهِ، والشَّرفِ، والسُّؤدد، فإنَّ الله تعالى خصَّهُم بنوعِ تكريمٍ وتفضيلٍ على بني جنسِهم، فمن كان منهم مستوراً مشهوراً بالخيرِ، حتى كَبَا به جوادُه، ونبا عَضَبُ صبْرِه، وأُديلَ عليه شيطانُه، فلا تُسارع إلى تأنيبِه وعقُوبتِه؛ بل تُقالُ عَثْرتُه، ما لم يكن حداً من حدودِ الله، فإنَّه ينبغي استيفاؤه من الشَّريف

Kesimpulannya kita tidak diharuskan mendedahkan kemungkaran pemimpin kepada rakyat dan membuat teguran terbuka sekiranya terdapat 4 perkara kepada mereka iaitu:


1. Mereka adalah pemimpin dan orang kenamaan
2. Dikenali dengan kebaikan kepada rakyat dan adil serta tidak zalim
3. Tidak melakukan kemungkaran secara terang-terangan
4. Dosa mereka tidak melibatkan persoalan hudud Allah s.w.t

Oleh itu sekiranya mereka melakukan kezaliman secara terang-terangan maka menjadi kewajiban kepada kita untuk menegurnya dan diharuskan untuk dilakukan secara terbuka bahkan menyatakan kebenaran kepada pemimpin yang zalim dikira sebagai jihad yang paling afdal sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

أن رجلاً سأل النبى ( صلى الله عليه وسلم ) أى الجهاد أفضل ؟ قال : كلمة حق عند سلطان جائر

“Seorang lelaki bertanya kepada nabi s.a.w apakah jihad yang paling afdal? Maka Nabi menjawab: Kalimah yang benar dihadapan pemimpin yang zalim”
Wallahu A’alam

Saturday, October 23, 2010

HUKUMAN ALLAH DIBAYAR 'CASH': SEBUAH CERITA BERLAKU DI MESIR

“Jika ISLAM itu BENAR,tempatkan bilikku di NERAKA,”jelas seorang manusia yang mempertikaikan hukum aurat dan mencabar ALLAH SWT


Baca (link)
Assalamualaikkum & Salam Peringatan,

Baca dan hayati sepenuhnya cerita di bawah ini yang benar-benar berlaku di BUMI ISLAM sendiri iaitu Iskandariah,Mesir.Moga kisah dibawah ini cukup menyayat hati anda sehingga menyedarkan anda dari terus leka dengan permainan dunia yang melalaikan.

Pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya walaupun tinggal di bumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata.Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan daripada pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.

Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu, ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya: "Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki.... " nasihat orang tua itu.

Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan yang mengejek: "Siapalah kamu hai orang tua? Adakah kamu cuba nak ingatkan aku supaya menutup aurat sepenuhnya sedangkan bapa kandungku sendiri tidak pernah menasihatiku?Apakah kamu mahu aku berpakaian menutup aurat sedangkan aku masih mahu bebas menayangkan tubuh badan ku di khalayak ramai?Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?" Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu, gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata-kata yang lebih dahsyat. " Jika ISLAM itu BENAR,tempatkan bilikku di Neraka ,Ambil handphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahanam untukku," katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawa dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.

Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan daripada si gadis manis. Sayang sekali, wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam malah ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis muda yang tidak menghormati hukum-hakam agama itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.

Sepuluh minit kemudian bas pun tiba di perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut tertidur di muka pintu bas. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri. Tiba tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis. Sedetik kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka. Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu. Dalam suasana kelam kabut itu, tiba tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah-olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat. Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu.

Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Na'uzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan iktibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai Muslim sejati. Jangan sesekali kita mempertikaikan hukum Allah mahupun sunnah RasulNya s.a.w. dengan mempersendakan atau mengejek. Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata-kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam.

Ingatlah teman, kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi kepada kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh. Janganlah menjadi orang yang bodoh, siapakah orang yang bodoh itu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul 'alamin. Apabila anda enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti anda ingin melawan arahan Tuhan.

Sewaktu di sekolah anda tertakluk dengan undang-undang sekolah, dalam pekerjaan anda tertakluk dengan undang-undang yang dilakar oleh majikan anda, di dalam negeri anda tertakluk di bawah undang-undang negara anda. Begitu taksub sekali anda terhadap undang-undang itu sehingga terlalu prihatin takut kalau melanggar undang-undang tersebut . Apabila anda berpijak di bumi ini, anda juga tertakluk dengan undang-undang yang telah di gubal oleh yang pemilik yang menjadikan bumi ini.

Setiap Sultan ada taman larangannya, begitu juga Allah s.w.t. taman laranganNya adalah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hambaNya di muka bumi ini. Sama samalah kita memohon agar Allah sentiasa memberi kita petunjuk di atas jalan yang benar dan agar Dia memberikan kekuatan agar kita sentiasa dapat menjaga lidah kita, amin.Kisah ini dikongsikan dan diceritakan bersama oleh sahabat saya sendiri yang berasal di Malaysia dan kini berada di perantauan sana.

NASIHAT UNTUK ULAMA MUDA UMNO


Nampaknya Ulama Muda Umno Saudara Fathul Bari tidak berpuas hati dengan tindakan pihak-pihak yang mengkritik Datin Seri Rosmah Mansor kerana menaungi Islamic Fashion Festival (IFF) yang secara terang dan jelas telah mencemar kesucian Islam.

Beliau yang telah berucap di Perhimpunan Agung UMNO semalam bermati-matian mempertahankan Datin Seri Rosmah dan mengatakan bahawa Datin Seri tidak bersalah sebaliknya yang bersalah hanyalah pihak pengajur. Rosmah hanyalah penaung kepada IFF bukannya penganjur.

"Sepatutnya bantahan itu ditujukan kepada penganjur sedangkan beliau (Rosmah) penaung semata-mata," katanya.

Beliau berkata lagi, "Tanpa diteliti hal tersebut, mereka terus menyerang dan menghukum. Adakah ini sikap orang Islam yang mengakui membawa hukum Allah. Sedangkan jelas perbuatan seperti ini tersasar dari Islam yang mengajar etika menasihati seseorang,"

Sebelum saya mengulas kenyataan beliau dalam perhimpunan Agung UMNO itu, saya ingin nyatakan bahawa saudara Fathul Bari sendiri sebenarnya telah gagal menasihati para pemimpin UMNO atau tidak pernah membuat teguran terbuka terhadap mereka. Contoh paling mudah ialah dalam soal pakaian mereka sendiri seperti tidak menutup aurat. Belum pernah mana-mana ulama UMNO dari dulu, kini, dan mungkin selama-lamanya menegur perbuatan maksiat walaupun yang paling kecil sekiranya dilakukan oleh pemimpin mereka. Bukan sahaja Fathul Bari bahkan sudah ramai ulama yang terpalit dengan UMNO menjadi 'lembu yang dicucuk hidungnya' apabila berhadapan dengan situasi ini.

Tetapi sekiranya perkara tersebut melibatkan pembangkang dan dirasai tidak 'sehaluan' dengan mereka maka secara jelas perkara tersebut dikecam secara terbuka di media kononnya tidak selari dengan 'sunnah' Rasulullah seperti soal kerajaan menghantar 40 orang ulama yang akan bermunajat di Mekah demi memohon pertolongan Allah supaya megembalikan hak rakyat yang dirampas oleh UMNO. Yang diperbesarkan adalah isu 40 ulama tersebut dan bukannya soal kezaliman dan rampasan harta rakyat!

Begitu juga dalam soal IFF ini. Nampaknya saudara Fathul Bari lebih berminat mempertahankan Rosmah sebagai penaung IFF yang mana kononnya 'tidak bersalah' daripada membahaskan soal bahaya IFF terhadap akidah dan syariat atau sejauh mana jijiknya pebuatan tersebut! Adakah Fathul Bari berani berbuat demikian? Rasanya tidak.

Kedua, jikalau kita merujuk kepada sejarah ulama pada waktu silam, kita akan mendapati para ulama terdahulu amat sensitif dengan isu-isu yang menyentuh kesucian agama Islam. Ramai ulama dan para Imam-Imam telah memberikan kepada kita contoh kelantangan mereka dalam menegur dan merubah (islah) para pemimpin. Imam Izzuddin Abd. Salam yang digelar sultanul Ulama (bukan ulama sultan macam beliau) menjadikan medan-medan terbuka seperti khutbah jumaat dan majlis-majlis pengajian untuk menegur pemimpin-pemimpin secara lantang,tegas dan berani seumpama singa sehingga para pemimpin amat takut akan 'naguman' beliau dalam menegur mereka.

Ketiga, sekiranya kita meneliti tindakan pihak yang mengkritik dan mengecam Rosmah selaku isteri pemimpin nombor 1 dalam negara, maka saya ingin bertanya kepada Fathul Bari, dari sudut manakah yang saudara lihat ianya menyalahi syariat Islam? Bukankah pihak-pihak tersebut telah pun menasihati dan menegur Datin Seri Rosmah kerana menaungi aktiviti jijik tersebut dalam ruang lingkup sistem demokrasi yang dibenarkan dalam perlembagaan. Adakah itu tidak beradab namanya? Adakah mereka telah melanggar undang-undang? Sekiranya poerbuatan tersebut melanggar undang-undang maka bolehlah beliau berkata demikian tetapi ianya tidak berlaku!

Pihak terbabit telah menggunakan media secara terhormat, menulis di dalam blog-blog , membuat perhimpunan-perhimpunan dan berceramah memohon Datin Seri Rosmah memohon maaf dan bertaubat kepada Allah kerana penglibatan beliau itu. Beliau merupakan pemimpin dan selaku pemimpin sewajarnya beliau menunjuukkan contoh yang terbaik kepada rakyat dengan tidak menghadirkan diri dalm program-program maksiat seperti itu apatah lagi menaunginya!!

Itulah sahaja saluran-saluran yang ada kepada mereka yang amat sayangkan dan cinta akan Islam untuk menegur para pemimpin negara hari ini. Mereka ini juga seumpama ulama-ulama terdahulu yang juga menulis, berceramah, berkhutbah dan berhadapan sendiri dengan para pemimpin memperingatkan mereka dengan azab Allah yang amat pedih sekiranya mereka tidak bertaubat. Kalau nak diharapkan kepada ulama UMNO sampai bila?!! Sejarah telah merekodkan segala-galanya!

Rasanya Fathul Bari mesti menilai semula penglibatannya sebagai ulama muda UMNO kerana nampaknya penglibatannya itu semakin menjauhkan dirinya daripada Allah s.w.t dan juga perlu menilai juga kenyataannya bahawa Datin seri Rosmah Mansor tidak bersalah. Adakah di sana tiada hadis yang menyatakan bahawa orang yang bersubahat atau membantu perbuatan maksiat tidak akan mendapat dosa? Maka adakah penglibatan Datin Seri tersebut tidak tergolong dalam golongan itu?? Apa guna syahadah beliau dalam bidang hadis sekiranya dalam soal sekecil itu pun beliau masih bersikap jahil atau buat-buat tidak tahu. Wallahu A'alam.

Khairul Anuar Ismail
Ulama Pelapis
Galas, Gua Musang, Kelantan.
8.15 pagi.

Harakahdaily: Ulama muda Umno patut nasihat, bukan kipas


KUALA LUMPUR, 23 Okt: "Ulama muda Umno sepatutnya menasihati pemerintah dan pembesar, bukan mengipasnya dalam perkara yang beliau sendiri tahu ia salah," kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan ketika memberi respons kepada kenyataan Fathul Bari yang berucap dalam perhimpunan Agung Umno di PWTC, hari ini.

Nasrudin berkata, semua orang yang menyaksikan bentuk persembahan Festival Busana Muslim (Islamic Fashion Festival) itu melihat pertunjukan tersebut bercanggah dengan Islam.

"Apa yang kita bantah ialah pertunjukkan fesyen yang kita saksikan melalui satu siaran yang disiarkan oleh CNN dan juga melalui laman web IFF sendiri," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau memberitahu bahawa Pemuda PAS dan NGO Islam bukanlah bertindak melulu tetapi Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penaung yang hadir dalam majlis tersebut mesti bertanggungjawab, memohon maaf, bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan tersebut.

"Sering kali orang pertikai kenapa bantah mungkar itu, kenapa tidak tanya dulu penganjur dan penaungnya?

“Kalau saya tanya kembali masa putuskan (untuk) menganjurkannya mengapa tidak tanya ulama dahulu?

"Sepatutnya sebelum buat kena tanya dulu, bukan dah buat orang kena tanya mereka (penganjur dan penaung) mengapa mereka buat," katanya.

Beliau juga melihat tindakan Fathul Bari mempertahankan Rosmah itu sebenarnya akan terus mengheret pemimpin itu kekal dalam maksiat.

Ulama muda Umno tersebut juga dilihat cuba membersihkan Rosmah yang menaungi penganjuran itu agar kesalahan itu ditanggung oleh penganjur.

"IFF boleh terus berkarya menghasilkan reka fesyen selama mana ia tidak bertentangan dengan Islam dan Datin Seri Rosmah boleh menaunginya tanpa halangan selama mana ia tidak mengulangi penganjuran seperti di Monte Carlo," tambahnya.

Dewan Pemuda PAS juga, ujarnya akan memberikan pandangan bertulis yang berasaskan Islam kepada penganjur mengenai perkara itu.

Timbalan Ketua Lajnah Ulama Pelapis Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Azhar Yahya dalam kenyataannya pula menganggap tindakan IFF itu secara spontan telah mengguris perasaan para pecinta Rasulullah s.a.w. dan pendokong syariat Islam.

Katanya, sekiranya Rosmah tidak mahu bertanggungjawab jangan sesuka hati hendak menjadi penaung kepada program seperti itu.

"Fathul Bari bila dikalungkan sebagai ulama muda, maka pastinya akan mempertahankan pengalungnya.

"Kini isteri pengalungnya sedang dipaliti najis yang dinamai kononnya Islamik, maka tidak hairanlah Fathul Bari muncul dengan megahnya di PWTC membelai manja para perwakilan kononnya pembangkang tidak berakhlak Islam," katanya.